Dahulu sebagai pemain hanya datang sepak bola sahaja, kini menjadi jurulatih lebih banyak kerja sampai di rumah – Fitri Omar
Bekas penjaring terbanyak Liga Super Malaysia pada tahun 2019 iaitu Fitri Omar kini telah memulakan karier kejurulatihan bersama pasukan MAH Selangor FC dimana pasukan tersebut terdiri daripada staf-staf hotel seluruh Malaysia.
Fitri yang baru berjinak-jinak dalam dunia kejurulatihan mengakui bahawa pertukaran daripada seorang pemain kepada status jurulatih merupakan satu perubahan besar bagi dirinya sendiri kerana tanggungjawab dan tugas bukan sahaja di dalam padang malah di luar padang juga.
“Dahulu sebagai pemain hanya datang sepak bola sahaja, kini menjadi jurulatih lebih banyak kerja sampai di rumah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pemain berpenggalaman itu juga sedar bahawa dirinya sebagai jurulatih masih baru setahun jagung dan mahu menjadikan MAH Selangor sebagai medan buat dirinya menjadi lebih baik di masa akan datang.
“Saya akan cuba belajar banyak lagi, mana-mana jurulatih terbaik dunia sekali pun akan bermula dari bawah.”
Fitri yang pernah bemain di bawah kendalian jurulatih mendiang B. Sathianathan itu turut menjadikan bekas jurulatihnya itu sebagai inspirasi serta segala ilmu yang pernah mendiang berikan kepadanya kini beliau gunakan sepenuhnya sebagai seorang jurulatih.
“Bulat-bulat saya katakan bahawa saya banyak meniru gaya dan ketegasan beliau di atas padang. Saya memang belajar apa yang coach Sathia lakukan dari dahulu hingga sekarang, saya akan ingat.”
Pemergian B. Sathianathan juga meninggalkan kesan peribadi yang mendalam buat dirinya kerana banyak jasa yang telah ditinggalkan, malah beliau sudah mengganggap mendiang sebagai seorang ayah buat dirinya.
Para pemain pasukan itu yang masih belum mencapai prestasi sebenar perlu mendapat bimbingan yang lebih mendalam daripada Fitri kerana rata-rata pemain tersebut hanyalah seorang pekerja dalam industri perhotelan sahaja.
Walau bagaimanapun, perkara tersebut tidak menjadi penghalang untuk pasukan tersebut terus berjaya lebih-lebih lagi jurulatih pasukan itu mempunyai penggalaman hampir dua dekad bermain di dalam Liga Super.