Steffi Sarge Kaur harap bola sepak wanita dapat sokongan dan bukannya kecaman
Kapten skuad bola sepak wanita negara, Steffi Sarge Kaur menjadi taruhan utama untuk memperkuatkan jentera hadapan kelab barunya iaitu LMS Tigress.
Steffi menganggap perlawanan persahabatan yang berlangsung semalam menentang FC Japan Malaysia sebagai satu medan terbaik untuk melakukan persiapan rapi sebelum bermulanya Liga Nasional Wanita (LWN) pada minggu hadapan.
Berikutan penarikkan diri dua pasukan yang mempunyai nama besar iaitu MBSJ FC dan Kuala Lumpur daripada LWN hingga menjadikan hanya enam pasukan sahaja yang akan bertanding tidak melemahkan semangat beliau untuk terus memberikan saingan di dalam liga nanti.
“Kita akan teruskan. Sekiranya MBSJ Fc tidak menghantar pasukan tidak semestinya kita perlu berhenti. Mudah-mudahan pada tahun hadapan pasukan MSBJ akan dapat kembali,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dengan bermulanya liga pada minggu hadapan, beliau berharap agar semua peminat bola sepak dapat memberikan sokongan yang padu walaupun hanya enam sahaja pasukan yang bakal bertanding merebut kejuaraan.
“Saya percaya semua pasukan di LWN akan memberikan saingan yang hebat. Terus memberikan sokongan, berikan komen yang positif dan janganlah kecam bola sepak wanita.”
Dalam pada itu, Steffi juga menjadikan kecemerlangan pasukan bola sepak wanita Filipina dan Vietnam yang kini sedang bersaing di pentas tertinggi Piala Dunia Wanita FIFA sebagai satu inspirasi buat dirinya dan pasukan untuk menjadi lebih maju kehadapan.
“Mungkin terdapat sedikit jurang perbezaan, tetapi jika pasukan kita berusaha keras dengan pembanggunan yang lebih baik saya pasti suatu hari nanti kita akan bermain di Piala Dunia”
LWN bakal membuka tirainya pada 5 Ogos 2023 dengan enam pasukan bakal bersaing sengit.