Walau digelar orang lama tetapi saya masih perlu belajar – Nina Azman
Antara pemain paling berpenggalaman di dalam skuad LMS Tigress iaitu Nina Azman yang juga bekas penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan kembali beraksi setelah sekian lama.
Beliau akui teruja dan merindui sukan bola sepak setelah sekian lama berehat dan tidak beraksi sebagai seorang pemain bola sepak secara profesional.
“Wow bau rumput sungguh menarik! Ia merupakan permainan yang bagus dari segi pemain dan kombinasi mereka,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kembalinya pemain itu di dalam kancah arena sukan bola sepak jelas mendapat sokongan dan dorongan daripada orang terdekat kerana minatnya terhadap sukan itu yang masih tinggi lebih-lebih lagi dengan wujudnya Liga Wanita Nasional (LWN) 2023.
“Keluarga juga banyak memberi galakkan kepada Nina untuk terus bermain dan masih tiada lagi yang bercakap tentang faktor umur yang sudah terlalu tua untuk saya tidak bermain bola sepak.”
Walau bagaimanapun, pemain berpenggalaman itu dengan rasa rendah diri percaya bahawa beliau juga perlu belajar banyak lagi mengenai bola sepak setelah sekian lama meninggalkan sukan itu lebih-lebih dengan corak permainan bola sepak moden pada masa kini.
“Walau digelar orang lama tetapi saya masih tetap perlu belajar.”
Walaupun LMS Tigress adalah pasukan baru ditubuhkan, namun mereka adalah antara pasukan pilihan untuk LWN musim ini.