Piala Sumbangsih sepatutnya dilangsungkan di stadium berkecuali
Liga Malaysia belum pun bermula, namun Malaysian Football League (MFL) sudah pun mula dikecam disebabkan kenyataan terbaru mengenai perlawanan Piala Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
Semalam Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yang mendedahkan perlawanan Piala Sumbangsih akan kembali sebagai aksi pembuka tirai Liga Malaysia tanpa melibatkan sebarang pungutan mata Liga Super. Ia akan dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Rata-rata peminat menyokong keputusan terbaru MFL yang tidak akan melibatkan pungutan mata, tetapi yang menjadi persoalan peminat adalah jika perubahan baru itu dibuat, mengapa venue perlawanan Piala Sumbangsih tidak dilakukan di stadium berkecuali?
Sebelum ini walaupun ada peminat yang mempertikai, namun mereka menerima keputusan itu kerana perlawanan Piala Sumbangsih juga merupakan perlawanan pertama Liga Super.
Berdasarkan manual Liga Malaysia yang dikeluarkan sendiri oleh MFL telah menyatakan perlawanan Piala Sumbangsih akan diadakan di venue berkecuali atau mana-mana venue yang diputuskan oleh MFL.
MFL sepatutnya memberi keutamaan kepada venue berkecuali terlebih dahulu, dan sekiranya venue berkecuali sebagai contoh Stadium Nasional Bukit Jalil sedang diselenggara dan tiada stadium berkecuali lain, barulah stadium juara liga dipertimbangkan.
Jika perlawanan Piala Sumbangsih dilangsungkan di venue berkecuali, ia akan memberi peluang kepada kedua-dua penyokong akan mendapat jumlah tiket yang sama, berbanding melangsung di SSI yang mana penyokong lawan hanya akan mendapat kuota tiket yang sedikit berbanding penyokong tuan rumah.
Pihak MFL tidak sepatutnya memikirkan satu pihak sahaja, sebaliknya perlu pastikan kedua-dua pasukan mendapat peluang sama rata termasuklah jumlah tiket untuk penonton. Jangan buat keputusan berat sebelah.
Rasanya pihak MFL sepatutnya beri alasan kukuh sekiranya tidak dapat sediakan venue berkecuali dan bukannya mendiamkan diri sahaja.
Setiap tahun isu yang sama akan timbul dan nampaknya ia akan terus berlarutan entah sampai bila.
Jadi tidak hairanlah kenapa badan yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan Liga Malaysia iaitu MFL dan FAM sentiasa dihentam hebat oleh peminat.