Di Malaysia banyak atlet yang bersara bila umur 25, tiada hala tuju ataupun kerjaya – Dr. Chin Kuen Ling

230

Presiden Persatuan Ping Pong Amatur Kedah Utara, Dr. Chin Kuen Liang sarankan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) bina satu program untuk melatih para atlet untuk membina kerjaya di luar bidang sukan demi kelansungan hidup mereka setelah tidak lagi bergelar seorang atlet.

Dr. Chin yang ditemui semasa upacara pembukaan perlawanan persahabatan ping pong yang melibatkan beberapa organisasi dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Kedah memberitahu bahawa langkah tersebut amat penting bagi memastikan atlet-atlet lebih fokus dengan sukan yang dimainkan tanpa memikirkan soal pendapatan kerana sudah memiliki kerjaya tetap di luar bidang sukan.


“Kita kena ada arah tuju dalam membina kerjaya atlet antaranya adalah dengan menjaga kehidupan pemain terutama dari segi pekerjaan mereka selepas mereka tidak lagi bergelar atlet,

“Kita lihat di Malaysia banyak atlet-atlet yang bersara bila umur 25 atau 26 mereka tiada hala tuju ataupun kerjaya terutama dalam sukan ping pong,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau merupakan jurulatih untuk beberapa atlet kebangsaan yang beraksi di pentas-pentas sukan antarabangsa menyeru kerajaan supaya merangka program seperti ini bagi memastikan kelangsungan hidup para atlet terjaga sekaligus kebajikan mereka juga tidak terabai.

“Saya harap MSN boleh bantu strukturkan satu pembangunan atau program bagi membantu atlet-atlet tidak mengira sukan dalam melatih mereka untuk hidup dengan kerjaya profesional jika sudah tidak lagi menjadi seorang atlet.”

Setelah 60 tahun persatuan ini ditubuhkan akhirnya sebuah pusat latihan dapat dibina dengan hasil kutipan serta sumbangan daripada beberapa pihak termasuklah masyarakat tempatan.

“Kami mewujudkan satu komuniti bagi memungut dana daripada masyarakat dan sejumlah RM140,000 berjaya dikumpulkan bagi membina pusat latihan ini, Butterfly dan portal Harimau Malaya antara yang membantu kita.”

Dr. Chin sendiri akui meskipun sebelum ini mereka tidak memiliki fasiliti sebegini dan hanya bergantung kepada sewaan dewan dan sekolah dalam melakukan program latihan atlet namun mereka berjaya melahirkan pemain-pemain ping pong berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kita sudah tubuh persatuan ini 60 tahun tapi tak pernah ada tempat sendiri, sebelum ini kita hanya sewa daripada persatuan, dewan-dewan atau sekolah untuk menjalankan latihan atau menganjurkan kejohanan.

Tempat tak cukup, tiada fasiliti yang bagus kita dapat melahirkan pemain-pemain hebat negara antaranya Wong Qi Shen, pemenang pingat Sukan SEA, kita sangat bersyukur.”

Beliau juga mengharapkan agar lebih ramai lagi masyarakat di luar sana untuk meminati sukan ping pong tidak mengira bangsa sama ada Melayu mahupun India kerana sukan ini tidak susah dan boleh bermain seawal umur lima tahun sehingga 80 atau 90 tahun mengikut kemampuan individu tersebut.