Saya tak pentingkan gol, yang penting tiga mata- Ong Kim Swee
Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee lebih pentingkan kemenangan dan bawa pulang tiga mata penuh berbanding jumlah gol yang dijaringkan anak buahnya dalam setiap perlawanan.
Menurut OKS, beliau sangat berpuas hati dengan persembahan pasukannya walaupun mereka menang tipis 2-1 ke atas Penang FC kerana fokus utamanya kini adalah untuk mendapatkan tiga mata setiap perlawanan dan bukannya jumlah jaringan.
“Saya tidak pentingkan gol kerana saya lebih pentingkan tiga mata terutama kami bermain di tempat lawan,”
katanya.
Perlawanan yang memperlihatkan Sabah mendominasi permainan pada babak pertama membuahkan hasil apabila Irfan Fazail berjaya menjaringkan gol pertama dan disusuli gol kedua yang ditanduk masuk oleh Ramon Machado pada penghujung separuh masa kedua.
Dalam perlawanan tersebut OKS turut memuji prestasi juga kelibat bekas pemain kebangsaan, Gary Steven Robert yang berjaya menarik perhatian peminat yang menonton apabila berjaya memberikan persembahan memukau meskipun sebelum ini sudah beberapa kali dilanda episod kecederaan.
“Gary sudah bermain banyak perlawanan sebelum ini, saya harap beliau kekal dengan prestasi yang ditunjukkan tetapi kita mesti ingat kita mempunyai banyak perlawanan selepas ini dan saya perlu memikirkan faktor keletihan dan kecederaan di mana kita perlu rotate pemain.”
Selain daripada itu juga, pengendali skuad The Rhinos itu juga mengingatkan bahawa setiap keputusannya dalam menurunkan pemain atau tidak adalah atas sebab keletihan dan mengelak daripada kecederaan disebabkan aksi pertama Piala Malaysia mereka menentang Kuching City FC dan ia memerlukan pemain-pemain yang cergas.