Sudah banyak kali cedera dan ambil tempoh nak sembuh sampai enam bulan – Gary Steven Robert
Pemain yang suatu masa dahulu menjadi tonggak utama di bahagian tengah skuad kebangsaan, Gary Steven Robert mengakui kecederaan demi kecederaan yang dialami memberinya kesulitan terutama untuk kembali bermain.
Gary yang kini sudah berusia 31 tahun ditemuramah selepas perlawanan Sabah FC menentang Penang FC memperlihatkan beliau seperti kembali pada prestasi terbaik selepas berjaya bantu pasukannya menang 2-1.
“Saya juga berpuas hati, tetapi untuk dapat konsisten itu susah jadi untuk mengatakan prestasi saya setara semasa di zaman skuad kebangsaan itu saya memerlukan kerja keras dan perjalanan untuk ke situ masih jauh,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Namun beliau turut berkongsi bahawa untuk kembali bermain dengan prestasi sekarang dan corak permainan yang diterapkan oleh ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee di pasukan Sabah bukan sesuatu yang mudah tambahan beliau sebelum ini sudah berkali-kali dilanda kecederaan.
“Saya sudah banyak kali saya cedera dan kecederaan saya bukan lah yang kecil dan ia melibatkan tempoh masa yang agak lama seperti enam bulan dan bagi saya proses untuk kembalikan prestasi sediakala amat susah kerana saya perlu motivasi diri, dari segi kecergasan tapi saya tetapkan dalam diri bahawa saya kena kerja lebih keras untuk kembali bermain.”
Gary yang mengemudi bahagian tengah pasukan Sabah malam ini memperlihatkan permainan yang kemas dan tidak banyak kesilapan-kesilapan yang dilakukan sehingga mereka berjaya tiga mata penuh hasil jaringan Roman Machado dan juga Irfan Fazail.
Dalam pada itu, beliau dan pasukannya kini sedang membuat persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan Piala AFC 2023 bersama Terengganu FC.
“Sabah pertama kali akan bermain di Piala AFC, jadi kami perlu betul-betul fokus kerana kejohanan ini bukan macam Liga Super dan sebaiknya kami perlu berikan yang terbaik.”