Saya tak sangka tekanan bermain untuk Selangor begitu tinggi – Hyuri Henrique
Bekas pemain import Selangor FC, Hyuri Henrique mengakui beliau tidak menyangka tekanan yang ada di Selangor begitu tinggi pada awal menyertai kelab itu.
Katanya, peminat Gergasi Merah memang begitu menekan pasukan untuk mendapatkan keputusan lebih baik dan tidak menyalahkan mereka kerana sedar reputasi Selangor sebagai sebuah kelab besar di negara ini.
“Saya memang rasa sedikit tekanan ketika tiba di Selangor tetapi saya tak jangka tekanannya tinggi, dan apa bila saya faham ia sudah agak terlambat.
Penyokong sentiasa mahukan lebih daripada kami dan mereka memang ada hak untuk menuntut lebih kerana ia sebuah pasukan besar,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya, ketika awal beliau menyertai Selangor, beliau tidak mengetahui bahawa beliau merupakan pemain termahal dalam liga.
Jelasnya, tekanan yang dirasai bukan sahaja disebabkan mengetahui bahawa dirinya pemain termahal, tetapi juga tekanan untuk mendapatkan trofi.
“Apabila saya tiba di Selangor saya tidak tahu langsung bahawa saya pemain termahal, tiada orang katakan kepada saya dan apabila saya tahu ia sudah terlambat.
Tetapi ia bukan saja disebabkan status pemain termahal tetapi tekanan juga adalah disebabkan untuk menjulang trofi.”
Hyuri sempat bermain untuk Selangor selama satu musim sahaja pada tahun 2022, melakukan lapan penampilan dalam Liga Super dan mencatatkan tiga gol, serta tiga penampilan di Piala FA dengan dua gol.
Beliau kini beraksi di divisyen dua Brazil bersama pasukan Clube de Regatas Brasil.