Kadang-kadang terfikir kenapa bila kami dah ke Piala Dunia baru ada yang pandang – Aina dan Auni
Pemain bola tampar pantai kebangsaan B-21, Farwizah Aina dan Nur Auni Maisarah akui terkilan dengan sikap segelintir pihak yang hanya datang membantu selepas berjaya ke Piala Dunia sedangkan sebelum ini ramai yang tidak mengetahui kewujudan mereka.
Aina dan Auni yang baru-baru ini tular membawa nama Malaysia dalam sukan bola tampar pantai ke pentas dunia selepas kejayaan mereka di Kejohanan peringkat Asia, Thailand mengungkap rasa terkilan mereka terhadap pihak-pihak tertentu yang tidak sedar tentang perkembangan dan usaha mereka dalam membawa naik nama negara dalam sukan ini.
“Kadang-kadang terfikir juga kenapa bila kami dah berjaya sampai ke Piala Dunia baru ada yang pandang kami, kenapa waktu kami susah tiada sebarang bantuan yang diberikan kepada kami dan kami hanya berharap kepada pihak sekolah semata-mata,”
ulas mereka berdua kepada Harimau Malaya.
Harimau Malaya kali ini ke Pulau Pinang untuk turun padang dan melihat sendiri rupa sebenar gelanggang latihan yang dibina sendiri oleh jurulatih dan pemain-pemain ini dalam usaha mereka untuk membawa sukan bola tampar pantai Malaysia ke mata dunia.
Bagi Aina dan Auni, selepas tersebarnya berita kejayaan ke Piala Dunia atas usaha mereka sendiri, sudah banyak pihak yang datang untuk menghulurkan bantuan seperti Majlis Sukan Negara dan juga Kementerian Belia dan Sukan sekaligus memperlihatkan bahawa kerja keras mereka sebelum ini akhirnya membuahkan hasil.
“Namun perkara ini tidak menjadi penghalang kepada kami untuk terus mara sehingga ke peringkat dunia dan menjadi nilai tambah kepada semangat kami.
Dengan populariti atau perhatian yang diberikan menunjukkan bahawa kami berjaya membawa sukan ini ke mata peminat sukan tanah air,”
Dengan berbaki beberapa bulan sahaja lagi untuk menuju ke saingan Piala Dunia, pemain muda kebangsaan ini menganggap persediaan mereka berbekalkan tempat latihan yang sederhana ini membuatkan mereka lebih bersemangat dan menilai segalanya dari sudut yang positif.
Selain itu, mereka juga menghargai setiap usaha jurulatih mereka yang tidak putus-putus dalam memberi semangat dan menasihati mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan masyarakat yang memandang usaha mereka ini hanyalah satu perkara yang sia-sia.
“Kami tak pernah putus asa dan kami menganggap ini satu permulaan buat kami sekaligus kekal positif dalam minda kami selain jurulatih kami yang banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat agar sentiasa positif dan tidak mudah untuk terpengaruh dengan anasir luar yang boleh menganggu fokus kami,”
Aina dan Auni sendiri berharap untuk kejohanan dunia yang mendatang mereka akan berlatih dan berjuang bersungguh-sungguh untuk membuktikan negara Asia seperti Malaysia boleh bersaing dengan pasukan-pasukan ternama terutama daripada Eropah.