Harimau Malaya wajib menang kesemua perlawanan di ‘home’ jika mahu ke pusingan ketiga Piala Dunia & layak ke Piala Asia 2027

1,369

Baru-baru ini telah berlangsungnya majlis undian kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 yang berlangsung di AFC House, Kuala Lumpur yang menyaksikan pasukan kebangsaan Malaysia diundi dalam Kumpulan D.

Skuad negara akan terus bermain di pusingan kedua yang akan dimainkan dalam format kumpulan di mana Harimau Malaya telah diundi bersama Oman, Kyrgyzstan dan Chinese Taipei/Timor Leste.


Melihat kepada keputusan undian, pasukan kendalian Kim Pan-gon tampak berpeluang untuk menamatkan saingan kumpulan sekurang-kurangnya di tangga kedua sekaligus berjaya layak ke pusingan ketiga Piala Dunia dan juga layak ke Piala Asia 2027 secara automatik.

Jika skuad negara berjaya layak ke Piala Asia 2027 ia akan mencipta sejarah baru lagi buat bola sepak tanah air apabila layak ke kejohanan paling berprestij di Asia secara merit dua edisi berturut-turut.

Berdasarkan jadual kelayakan, skuad negara akan memulakan kempen kelayakan pada 16 November 2023 dan 6 Jun 2024 menentang Kyrgyzstan; 21 November 2023 dan 11 Jun 2024 menentang Chinese Taipei/Timor Leste; 21 Mac 2024 dan 26 Mac 2024 menentang Oman.

Dengan perlawanan timbal balik, skuad negara perlu memastikan menang dalam ketiga-tiga perlawanan ‘home’ yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) jika mahu peluang mara ke pusingan ketiga dan ke Piala Asia cerah.

Oman

Pasukan Oman merupakan pasukan terkuat dalam Kumpulan D dan mereka menjadi pilihan untuk menjadi juara peringkat kumpulan kerana mereka berada di kedudukan ranking dunia lebih baik iaitu ke-70 dunia.

Walaupun untuk tahun ini mereka mempunyai rekod yang agak baik, namun keputusan kemenangan mereka tidak besar sebaliknya hanya menang tipis dengan perlawanan terakhir mereka menentang Kyrgyzstan hanya menang 1-0 sahaja.

Untuk rekod, Malaysia pernah menentang Oman sebanyak empat kali sejak 1993 dengan keempat-empat perlawanan dimenangi oleh mereka.

Kemenangan besar Oman terhadap skuad negara ketika perlawanan persahabatan pada tahun 2015 apabila mereka menang 6-0 di mana ketika itu skuad negara sedang mengalami kemerosotan prestasi.

Bagaimanapun dengan prestasi terbaik skuad negara, pertembungan antara kedua-dua pasukan ini akan menjadi cukup menarik.

Untuk dua perlawanan menentang Oman, skuad negara tidak boleh tewas sebaliknya perlu cuba dapatkan empat mata (1 menang & 1 seri) atau sekurang-kurangnya dua mata.

Kyrgyzstan

Tidak dapat dinafikan Kyrgyzstan adalah pasukan yang agak asing buat peminat bola sepak tanah air kerana tiada banyak maklumat mengenai pasukan ini.

Untuk rekod, skuad negara pernah bertemu dengan Kyrgyzstan sekali sahaja pada tahun 2018 dalam satu perlawanan persahabatan yang menyaksikan mereka hanya berjaya menang 1-0 sahaja walaupun ketika itu berada prestasi terbaik kerana berada di kedudukan ke-75 dunia.

Kyrgyzstan kini berada di kedudukan ke-97 dunia dan berdasarkan prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh skuad negara sejak dua tahun kebelakangan ini, tidak mustahil untuk skuad negara untuk perolehi kemenangan.

Sasaran untuk Kyrgyzstan adalah untuk cuba dapatkan enam mata maksimum atau sekurang-kurangnya empat mata dari dua perlawanan.

Chinese Taipei / Timor Leste

Satu lagi pasukan yang akan menjadi lawan skuad negara adalah di antara Chinese Taipei atau Timor Leste yang mana kedua-dua pasukan ini akan berentap pada pusingan pertama kelayakan untuk merebut slot ke pusingan kedua dalam Kumpulan D.

Jika melihat dari sudut kedudukan ranking, pastinya Chinese Taipei mempunyai kelebihan apabila mereka berada di kedudukan ke-153 berbanding Timor Leste yang berada di kedudukan ke-192.

Untuk rekod tahun ini juga menyaksikan Chinese Taipei mempunyai rekod yang cukup baik sekaligus akan memperlihatkan pasukan ini berkemungkinan besar akan menjadi lawan skuad negara.

Berdasarkan rekod, Chinese Taipei dan Malaysia pernah bertemu sebanyak lima kali dengan mereka berjaya menang tiga perlawanan dan tewas dua kali.

Namun berdasarkan prestasi semasa skuad negara, Harimau Malaya dilihat tidak akan berdepan masalah untuk mengutip enam mata maksimum dari dua perlawanan tersebut.

Dengan 18 mata menjadi rebutan, skuad negara perlu menyasarkan sekurang-kurangnya 13 mata untuk mengesahkan slot ke pusingan ketiga Piala Dunia dan layak ke Piala Asia 2027 secara automatik.

Semoga berjaya Harimau Malaya!