Hannah Yeoh teruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Sallahuddin Ayub dengan perkenal Sukan Rahmah
Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh telah melancarkan program inisiatif Sukan Rahmah bagi mempromosi dan menyokong aktiviti sukan tempatan supaya semua lapisan masyarakat dapat bersukan.
Menurut Hannah, pelancaran Sukan Rahmah ini adalah bagi meneruskan legasi sahabat baiknya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNHEP), Allahyarham Datuk Seri Sallahuddin Ayub dalam membantu golongan B40.
“Sukan Rahmah adalah untuk teruskan legasi dan usaha Allahyarham Datuk Seri Sallahuddin Ayub dalam usaha bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir akibat kos sara hidup.
Kali ini kita nak pastikan dalam sukan juga, kanak-kanak dan golongan B40 yang mahu bersukan tetapi mungkin ada kekangan kewangan.
Jadi dengan usaha bersama AEON BiG saya percaya dalam tempoh 10 minggu ini yang nak bersukan ada ruang untuk mendapatkan peralatan yang mampu milik untuk bersama-sama bersukan,”
katanya.
Hannah juga berkata kementeriannya akan meneruskan usaha KPDNHEP bagi memastikan inisiatif Rahmah berterusan.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa inisiatif Rahmah ini tidak hanya melibatkan sesetengah pihak sahaja, sebaliknya pihaknya sentiasa terbuka untuk semua pihak yang menyahut seruan kerajaan.
Tambahnya lagi, usaha ini juga adalah untuk menggalakkan kanak-kanak untuk bersukan dan tidak hanya diberikan mainan.
“Dalam sukan kita menggalakkan semua pihak terutamanya kanak-kanak jangan asyik bagi mainan sahaja, mungkin kita boleh bagi peralatan sukan untuk mereka bersukan.”
Pelancaran inisiatif Sukan Rahmah ini adalah bersempena dengan Hari Sukan Negara (HSN) yang akan berlangsung pada 14 Oktober ini.
Terdahulu, beliau bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) turut menawarkan penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) secara percuma kepada semua sekolah yang ingin menganjurkan hari sukan.
Usaha tersebut adalah bagi memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman baru kepada murid untuk beraksi di gelanggang olahraga sebenar sekaligus dapat menaikkan semangat mereka untuk bersukan.