Ketika saya mula sakit dahulu saya harap ada sesuatu dari MSN tetapi tiada yang kisah – Kenneth Low

586

Bekas pemain skuasy lelaki nombor satu negara, Kenneth Low kecewa tiada pihak bertanggungjawab yang mengambil berat terhadap kondisi dirinya selepas beliau mengalami masalah kesihatan yang menjejaskan kehidupan sehariannya.

Beliau berkata bahawa ia bermula sewaktu sebelum pandemik Covid-19 melanda di mana beliau rasa tidak sedap badan dan sering terlantar di katil kira-kira dua minggu.


Apabila melakukan pemeriksaan di hospital, doktor mengesyaki bahawa beliau menghidap penyakit strok.

“Apabila saya mula-mula sakit dulu, saya harapkan ada sesuatu dari pihak MSN (Majlis Sukan Negara) tetapi tiada siapa yang kisah pasal saya.

Jadi saya teruskan sajalah hidup, dan sekarang saya bekerja di sebuah pusat memanah menjadi seorang tukang cuci,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, selepas kisahnya tular, beliau ada menerima kunjungan daripada Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Katanya, beliau memerlukan bantuan kewangan tambahan yang berkaitan dengan perubatan dirinya.

Dalam pada itu, Kenneth meluahkan kerinduannya terhadap anaknya yang kini berada dengan isterinya di Sabah yang sudah lama tidak berjumpa.

“Saya dengan isteri masih tidak bercerai lagi, cuma memang tiada komunikasi antara kami buat masa ini.

Sampai sekarang saya mahu cari mereka tetapi mereka berada di Sabah, saya rindu akan anak saya, kadang-kadang apabila saya berseorangan saya akan menangis mengenangkannya.”

Beliau berharap supaya selepas kisahnya tular di media sosial, beliau akan dapat bantuan sewajarnya daripada pihak bertanggungjawab terutama untuk kos perubatan.