Tak terkilan tak dapat tawaran ke sekolah sukan, lebih selesa berlatih di bawah jurulatih sekarang – Farah Syakirah
Pemenang tiga pingat emas di Kejohanan Sekolah-Sekolah Thailand, Farah Syakirah Azifsafarin selesa untuk terus berlatih di bawah jurulatihnya ketika ini walaupun bukan seorang jurulatih profesional.
Katanya, beliau tidak terkilan langsung tidak ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke mana-mana sekolah sukan dan lebih selesa dengan latihan ketika ini.
“Setakat ini saya tiada tawaran untuk ke sekolah sukan lagi, tetapi saya tidak rasa terkilan kerana saya juga selesa untuk berlatih di bawah jurulatih sekarang.
Selepas kejohanan ini, saya akan berehat sebentar dan berlatih kembali di Perak dengan jurulatih sendiri untuk persiapan ke ASEAN School Games (ASG),”
katanya kepada Harimau Malaya.
Farah berjaya meraih emas dalam acara 100 meter lari berpagar, lompat kijang dan lompat jauh pada Kejohanan Sekolah-Sekolah Thailand.
Dalam pada itu, jurulatih Farah, Khairi Amri menganggap beliau hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang jurulatih dan guru untuk melahirkan seorang atlet bagus seperti Farah.
“Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai seoarng jurulatih dan juga guru, Farah ini masih muda tetapi dia cepat belajar.
Saya sudah berkecimpung dalam bidang ini sudah 19 tahun dan selain Farah ramai lagi atlet yang saya pernah didik sehingga meraih kejayaan.”
Khairi berkata, beliau menerima dengan hati terbuka sekiranya Farah ‘diambil alih’ oleh jurulatih lain selepas ini.
Namun, beliau merasakan bahawa anak didiknya itu masih belum bersedia untuk berlatih di tempat lain kerana pernah melalui perkara itu ketika persiapan ke Sukan SEA tempoh hari, yang menyaksikan Farah tidak berjaya mempamerkan aksi terbaiknya.