Terima kunjungan TMJ, tidak mustahil jika JDT bakal uji Liverpool pada masa akan datang
Dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim semestinya tiada apa yang mustahil, hari ini tular gambar TMJ bersama tiga tonggak utama Liverpool FC iaitu Darwin Nunez, Alexis Mac Allister dan Luis Diaz di sebuah restoran.
Kelab itu juga yang sedang rancak dalam jelajah pramusim di negara jiran iaitu Singapura sebagai persediaan sebelum bermulanya kancah Liga Perdana Inggeris, akan melawan gergasi Jerman iaitu Bayern Munich pada hari ini dalam perlawanan persahabatan.
Persoalan yang bermain dalam kalangan peminat bola sepak tempatan adalah adakah kemungkinan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mengadakan perlawanan persahabatan menentang kelab tersebut pada suatu hari nanti.
Dengan kualiti padang yang JDT miliki serta infrastruktur kelab tersebut yang serba canggih, tidak mustahil untuk kelab tersebut menerima kunjungan daripada gergasi-gergasi Eropah untuk hadir mengadakan perlawanan persahabatan.
Ini juga adalah kerana rekod kelab tersebut sebelum ini yang pernah mengadakan perlawanan persahabatan bersama kelab besar seperti Borussia Dortmund, Zenit St Petersburg dan Spartak Moscow yang digeruni di Eropah.
Tambahan pula, perlawanan persahabatan dengan kelab ini juga mampu meningkatkan kualiti permainan para pemain JDT untuk mencapai standard yang lebih tinggi.
Maka, tidak mustahil sekiranya kelab itu bakal menguji kekuatan skuad Liverpool mahupun kelab Inter Miami yang sekarang ini sedang meningkat naik dengan kehadiran bintang utama dunia iaitu Lionel Messi untuk mempertingkatkan prestasi dan kualiti pasukan mereka.