Kita perlu banyak sertai kejohanan untuk dapatkan pendedahan dan pengalaman – Christian Didier Chin
Pemain tenis muda negara, Christian Didier Chin dan Darrshan Suresh yang baru sahaja menamatkan saingan di Kejohanan Davis Cup 2023 mengungkapkan bahawa komuniti tenis di Malaysia masih jauh ketinggalan dan perlu ditambah baik.
Christian yang sudah beberapa kali menyertai kejohanan Davis Cup ini tidak menyembunyikan kegembiraannya selepas dua tahun tidak bermain di bawah bendera Malaysia di samping Darrshan pula pemain muda yang baru berusia 16 tahun baru pertama kali menyertai Davis Cup di peringkat senior.
Menurut pemain-pemain muda ini, kekurangan pendedahan dalam kejohanan menjadi salah satu faktor utama ramai atlet tenis tanah air tidak mempunyai persediaan yang cukup apabila bersaing di peringkat antarabangsa.
“Bagi pasukan kita sekarang sudah terbaik tapi mungkin daripada sudut persediaan di mana kami pada minit-minit terakhir baru diberitahu untuk membina satu pasukan dan bermain di Davis Cup.
Diharapkan untuk masa hadapan kita diberikan banyak peluang untuk bermain di kejohanan luar bagi mempersiapkan diri dalam membawa nama negara,”
Ujar Christian kepada Harimau Malaya.
Di samping itu, Darrshan yang baru sahaja membuat debutnya di Davis Cup tahun ini mengungkapkan perbezaan kualiti yang ditonjolkan oleh para pemain memandangkan beliau perlu bersaing dengan pemain-pemain yang lebih cergas dan mempunyai ketahanan mental yang lebih tinggi berbandingnya.
“Saya sememangnya banyak belajar daripada kejohanan Davis Cup baru-baru ini ia sangat berbeza dengan Junior Davis Cup yang saya sertai sebelum ini kerana para pemain tampak lebih cergas dan bersedia.
Mereka mempunyai kekuatan yang lebih dan ketahanan mental yang tinggi dan itu semua adalah apa yang perlu saya serap dan belajar kerana saya masih berumur 16 tahun,”
Harimau Malaya yang menemubual kedua-dua pemain ini usai latihan mereka di Kompleks Sukan Jalan Duta pagi tadi memberitahu bahawa apa yang mereka perlukan sekarang ini adalah sokongan dari segi kewangan terutama ketika mereka ingin bermain di luar negara dalam mendapatkan pendedahan yang cukup bagi beraksi cemerlang di bawah nama Malaysia.
“Kerajaan atau pihak terlibat boleh wujudkan satu struktur latihan yang kukuh dari segi penguasaan gelanggang dan sebagainya namun meskipun pembangunan tenis di negara ini masih jauh jika dibanding negara luar sekurang-kurangnya beri tumpuan buat pemain-pemain individu yang bermain secara profesional.”
Darrshan menyatakan hasratnya dalam tempoh dua tahun ini sebelum mencecah umur 18 tahun beliau mahu bermain secara profesional dan memastikan mencapai kedudukan 100 teratas dalam ranking ITF Junior atau bermain di College Tennis.
“Saya nak bermain di College Tennis yang mana saya boleh seimbangkan akademik dan sukan tenis dan yang kedua adalah jika saya bermain dengan baik sepanjang dua tahun sebelum saya mencecah 18 tahun, saya ingin bermain di peringkat senior dan ini akan memastikan saya mencapai objektif lima tahun saya iaitu mencapai ranking 100 teratas di ITF Junior,”
Christian pula apabila ditanya berkenaan perancangannya untuk masa hadapan dalam tenis, beliau hanya mahu membawa nama Malaysia untuk bermain di kejohanan peringkat tertinggi dalam acara tenis iaitu Grand Slam.
“Sudah tentu matlamat saya adalah untuk bermain di Grand Slam tidak kisah sama ada bermain perseorangan atau beregu, saya mahu bawa nama Malaysia bermain di peringkat tertinggi biarpun perlu ambil masa beberapa tahun juga.”