Gandingan Bojan Hodak dan Levy Mandinda mampu pacu Persib Bandung ke pentas Asia
Dengan penghijrahan Bojan Hodak yang mengikut jejak langkah Levy Mandinda berkelana ke kelab Persib Bandung dalam Liga 1 Indonesia, maka tidak mustahil jika gandingan mereka berdua mampu membawa kelab itu ke peringkat Asia.
Walaupun kedua-dua individu ini pernah bersaing beberapa kali dalam kancah Liga Malaysia kerana perbezaan kelab, dengan mengetahui kelebihan serta kekurangan satu sama lain pasti dapat membantu secara tidak langsung.
Rekod cemerlang jurulatih dari Croatia itu di pentas Asia sebelum ini juga membuktikan bahawa beliau mempunyai kualiti tersebut untuk membantu pasukan itu mendapatkan rentak permainan justeru bersaing mendapatkan kedudukan terbaik dalam liga.
Beliau yang pernah membawa KL City FC menjadi naib juara dalam kejohanan Piala AFC serta membantu bekas kelabnya itu menjadi juara Piala Malaysia selain pencapaian melayakkan diri dalam tiga perlawanan akhir dalam tiga tahun pasti dapat membantu kelabnya kini.
Tambahan pula, kualiti yang ada pada Levy Mandinda, iaitu pemain yang pernah bermain di kelab Eropah secara tidak langsung pasti dapat menguatkan lagi jentera serangan Persib Bandung untuk memburu kemenangan dalam Liga Indonesia.
Pemain Gabon itu juga pasti sudah mengetahui sedikit sebanyak corak dan gaya permainan Bojan Hodak kerana pernah bersaing beberapa kali ketika bersama kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan FC dan Sabah FC dalam kancah Liga Malaysia.
Dua pertemuan terakhir sebelum ini juga menunjukkan Levy Mandinda bermain penuh ketika menentang kelab yang dikendalikan oleh Bojan Hodak iaitu KL City dan berakhir dengan keputusan satu kemenangan buat Negeri Sembilan dan satu seri.
Penggalaman dan persefahaman di antara satu sama lain pasti dapat digunakan dengan sebaiknya oleh Bojan Hodak dan Levy Mandinda untuk membantu kelab yang sedang diwakili sekarang ini iaitu Persib Bandung sampai ke pentas Asia.