Zenn Lim mahu kejar ranking 100 terbaik WTA, Naufal Siddiq akui tenis Malaysia masih banyak lompong
Pemain tenis wanita negara, Zenn Lim komited mahu meningkatkan prestasi sekaligus bersaing mendapatkan kedudukan 100 terbaik dalam ranking Women’s Tennis Association dan mendapat tempat ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Zenn Lim yang kini berumur 18 tahun sedang melanjutkan pelajaran di University of Southern Mississippi, Amerika Syarikat yang mana sebelum ini beliau mendapat tajaan untuk akademik dan sukan tenis sekaligus memberinya peluang untuk bermain di sana.
Beliau sendiri akui untuk melangkah lebih jauh dalam sukan ini, pendedahan dan pengalaman amatlah penting untuk memastikan seorang pemain itu lebih bersedia ketika bermain dalam sebuah kejohanan.
Zenn yang bermain dalam Billie Jeans King Cup (BJKC) yang berlangsung di Malaysia beberapa hari yang lalu berkata, pemain-pemain negara kita sering diasak kerana kurang agresif dalam permainan selain terpaksa untuk berada dalam mod bertahan sahaja kerana kurangnya pendedahan.
“Saya rasa kita mesti ada sifat untuk bermain dengan lebih agresif kerana jika lihat pada pemain-pemain negara lain, mereka memiliki corak permainan tersebut manakala kita hanya menerima bola dan kekal dalam pola permainan defensif dan saya rasa kita perlu tingkatkan gaya permainan kita,”
Ujarnya kepada Harimau Malaya.
Beliau berkata, tampak jelas perbezaan corak latihan dan komuniti tenis di Amerika Syarikat berbanding di Malaysia yang mana populasi peminat sukan ini tidak begitu besar.
“Ada perbezaan dari segi latihan, bagi saya apabila di Malaysia saya dah buat latihan sepenuh masa selepas menamatkan zaman persekolahan saya pada tahun 2021 dan di tempat saya belajar, kami tidak banyak berlatih namun kami menyertai banyak kejohanan-kejohanan antara Institut Pendidikan di sana sekaligus saya mendapat lebih banyak pendedahan dan suasana kejohanan yang diperlukan,”
Selain Zenn Lim, seorang lagi pemain tenis lelaki negara Naufal Siddiq Kamaruzzaman turut melanjutkan pelajarannya ke Amerika Syarikat selepas menerima tajaan daripada Georgia Institute of Technology.
Naufal yang juga merupakan salah seorang pemain Malaysia di kejohanan Davis Cup baru-baru ini, mencadangkan untuk kejohanan tenis diperbanyakkan di Malaysia kerana jumlah kejohanan yang sikit akan menyebabkan para pemain kurang pendedahan sekaligus akan ketinggalan jauh daripada pencabar-pencabar mereka dari segi teknik dan kemahiran.
“Jumlah kejohanan di Malaysia tidak cukup dan pemain-pemain Malaysia kalau nak raih pengalaman, mereka perlu bermain di luar dan cadangan saya, dapatkan tajaan lebih banyak dan peruntukan untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan sekali gus pemain-pemain ini dapat pendedahan kepada pertandingan dan permainan semakin meningkat,”
Beliau kini sedang mempersiapkan diri untuk tahun terakhinya di College Tennis dan sejurus beliau menamatkan pelajaran, keputusan untuk teruskan bermain sebagai pemain profesional akan ditentukan berdasarkan beberapa faktor termasuk dari segi kewangan.