Masalah paling besar untuk tenis di Malaysia adalah kurangnya pendedahan – Selvarajoo Singaram
Jurulatih skuad tenis negara, Selvarajoo Singaram berpuas hati dengan prestasi anak buahnya di kejohanan Billie Jeans King Cup (BJKC) yang meraih kedudukan ke-5 keseluruhan namun masih banyak yang perlu diperbaiki oleh anak buahnya.
Selvarajoo yang ditemui oleh Harimau Malaya ketika usai latihan harian skuad tenis negara di Kompleks Sukan Jalan Duta hari ini memberitahu bahawa banyak faktor yang menyebabkan Malaysia masih lagi ketinggalan dalam sukan tenis ini berbanding beberapa negara jiran seperti Indonesia.
“Pemain kita bermain dengan sangat baik di kejohanan BJKC, dari segi disipilin dan corak permaian mereka tiada masalah.
Masalah yang paling besar di sini adalah kurangnya pendedahan kerana kita tidak banyak anjurkan kejohanan di Malaysia dan kita perlu sertai kejohanan di luar negara dan ini semua memerlukan duit atau dana tajaan, jadi itu antara masalahnya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pemain-pemain dalam skuad tenis kebangsaan ketika ini sememangnya mempunyai reputasi tersendiri dan masing-masing bermain di luar negara bagi mendapatkan pendedahan dalam kejohanan.
Jurulatih skuad kebangsaan tersebut turut memberitahu bahawa kepentingan kejohanan dan permainan yang diperlukan oleh para pemain ini bukan sahaja memberi mereka pengalaman malah turut menambahkan kemajuan dari diri mereka dalam setiap kejohanan.
“Sebenarnya kita ada pemain-pemain yang berkaliber dan berkebolehan untuk melangkah lebih jauh hanya seperti yang saya cakap mereka perlu lebih fokus untuk kejohanan dan kerja lebih keras.
Jika mereka pulang daripada kejohanan mereka perlu bawa pulang kemajuan dari satu kejohanan ke kejohanan seterusnya,”
Selain itu, semua sukan mempunyai program pembangunan pemain akar umbi yang dihasilkan melalui sirkit-sirkit kebangsaan, namun menurut Selvarajoo, setiap kali kejohanan dilangsungkan tidak ramai pemain yang menyertai terutama dari kelompok wanita.
“Program di akar umbi kita tak terlalu banyak, dari segi sirkit kebangsaan pun kita selalu ada masalah tak cukup pemain terutama pemain wanita.
Jika kita lihat dalam kejohanan peringkat junior pun tak ramai pemain-pemain yang sertai disebabkan kita punya base tidak lah besar mana,”
Selain daripada pasukan wanita, skuad lelaki juga baru menamatkan kemaraan mereka di Davis Cup 2023 dengan jayanya apabila berjaya menumpaskan tuan rumah iaitu Sri Lanka, Pasifik Ocenia dan juga Jordan namun nasib tidak menyebelahi mereka kerana mata yang dikumpul tidak melayakkan mereka ke pusingan seterusnya.