Beto ke Sarawak United FC kerana kejar minit permainan
Bekas pemain kebangsaan Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri mengambil keputusan untuk berhijrah ke Sarawak United FC pada musim ini bagi mengejar minit permainan.
Menurut Khairil Anuar atau lebih mesra dengan panggilan ‘Beto’, beliau membuat keputusan itu apabila sering disisihkan ketika beraksi bersama PJ City FC musim lalu yang mana beliau hanya sempat membuat enam penampilan sahaja.
“Antara faktor utama yang membuatkan saya ambil keputusan untuk berhijrah adalah untuk mendapatkan minit permainan kerana ketika beraksi bersama PJ City FC saya kurang mendapat peluang untuk turun beraksi.
Tiada masalah untuk saya datang bermain untuk Sarawak kerana sudah bersedia dari segi mental dan fizikal, malah ketika latihan berlangsung saya berasa sangat seronok bersama rakan sepasukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beto sebelum ini merupakan salah seorang pemain yang mempunyai potensi besar, bagaimanapun selepas mengalami kecederaan namanya mula tenggelam.
Bagaimanapun Beto tidak berasa kesal langsung kerana percaya pada rezekinya selain teruja untuk kembali beraksi dengan Sarawak terutamanya selepas ketua jurulatih E. Elavarasan dan pengarah teknikal B. Sathianathan berjanji akan bantunya untuk kembali pada prestasi sebenar.
Pada masa sama Beto juga menyuarakan keyakinannya terhadap perancangan oleh E. Elavarasan dan B. Sathianathan untuk memastikan Sarawak mampu bersaing dengan pasukan-pasukan hebat lain.
Dalam pada itu, Beto yang diminta mengulas adakah faktor kontrak singkat (setahun) menjadi punca kemerosotan prestasi seseorang pemain, beliau menyangkal perkara itu.
“Bagi saya kontrak setahun ini adalah untuk kita buktikan kepada jurulatih dan pengurusan pasukan bahawa kita seorang pemain berkebolehan supaya kontrak kita dapat dilanjutkan nanti.
“Tapi kalau kontrak setahun seorang pemain itu tidak bermain 100 peratus sebab nak jaga kaki takut cedera, ia akan memberi gambaran yang tidak bagus untuk jurulatih dan pengurusan pasukan kerana mereka akan kata pemain itu tidak berikan yang terbaik. Ini akan menyebabkan kontrak kita ditamatkan.”
Sementara itu, selain mahu meningkatkan semula prestasi permainannya Beto juga mahu berusaha keras untuk mendapat kepercayaan ketua jurulatih skuad kebangsaan bagi menyarung jersi Harimau Malaya lagi.
Ini kerana beliau baru sekali sahaja mewakili pasukan skuad senior iaitu pada tahun 2017 ketika dikendalikan oleh Nelo Vingada.