Saya bantu Kenneth Low bukan untuk publisiti, beliau lebih terjaga bekerja di sini – Jeffry Kok

134

Jurulatih dan pemilik Best Achery Academy, Jeffry Kok menegaskan bahawa tujuannya membantu bekas pemain skuasy negara, Kenneth Low bukanlah kerana mahukan publisiti.

Tegasnya, beliau ikhlas membantu Kenneth kerana kasihan akan keadaan dirinya dan risau jika apa-apa berlaku kepadanya.


“Jika ada yang menganggap saya lakukan ini untuk publisiti, saya hanya mahu katakan bahawa tidak terlintas langsung di fikiran.

Pada awalnya, kita tahu beliau sangat terdesak untuk dapatkan tempat tinggal dan pekerjaan jadi kami di sini aturkan perjumpaan untuk sesi temuduga dan akhirnya kami ambilnya bekerja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kenneth ketika ini bekerja sebagai seorang tukang cuci di pusat memanah itu dan pada masa yang sama turut belajar selok belok cara menjadi jurulatih memanah.

Sementara itu, Jeffry berkata beliau turut membantu Kenneth untuk membuka akaun bank supaya wang bantuan yang diterima dapat disimpan dengan selamat.

“Pertama kali wang diberi kepada saya sebagai gaji untuk Kenneth tetapi saya rasa tak adil sebab wang itu sepatutnya untuk dia, jadi saya tolong bukakan akaun bank untuknya.

Saya juga tolong uruskan Kenneth untuk dapatkan barang keperluannya terutama barang perubatannya.”

Beliau menganggap bahawa Kenneth lebih terjaga apabila bekerja untuknya kerana apa-apa yang berlaku kepadanya adalah di bawah tanggungjawab beliau.