Memang saya sedih Kenneth kena strok, suami saya juga meninggal disebabkan strok – Kwan Chooi Yong
Ibu kepada bekas jaguh skuasy negara, Kenneth Low, iaitu Kwan Chooi Yong berharap agar kesihatan anaknya kembali seperti biasa dan dapat menjalani kehidupan seharian seperti orang biasa.
Katanya, beliau sememangnya sedih apabila anaknya jatuh sakit disebabkan penyakit strok dan mengakui bahawa keluarga suaminya memang mempunyai sejarah strok.
“Saya harap beliau akan sihat seperti sedia kala, kemudian dapat jalani hidup dengan baik, apa yang penting adalah kesihatan kerana untuk bekerja perlukan kesihatan yang baik.
Sudah tentu saya sedih kerana suami saya meninggal juga disebabkan strok, dan abang Kenneth juga kini mengalami strok, saya rasa ia disebabkan genetik daripada keluarga suami saya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Jelas Chooi Yong, beliau kini tinggal bersama anak perempuannya yang menyara dirinya dan dalam masa yang sama beliau turut menjaga anaknya yang mengalami strok itu.
Beliau menyifatkan bahawa Kenneth adalah seorang yang kuat dan gembira orang ramai menyalurkan bantuan kepada anaknya itu.
“Orang ramai beri bantuan kepadanya selepas kisahnya tular, jadi saya harap ia boleh membantu dirinya dengan segala keperluan perubatannya.”