Jersi sentiasa laku setiap musim, pasukan Malaysia patut contohi cara Buriram United buat duit

378

Selepas kelab Buriram United melancarkan jersi terbaru mereka sempena Liga Thailand yang akan bermula kurang daripada sepuluh hari lagi , penjualan jersi tersebut telah mendapat sambutan yang begitu luar biasa daripada kalangan peminat mereka.

Kelab tersebut telah berjaya mengutip sebanyak 33 juta Baht (RM 4.3 juta) pada hari pertama penjualan dan semua jersi mereka habis dijual.


Kutipan tersebut juga merupakan tiga kali ganda lebih tinggii daripada wang kemenangan mereka menjadi juara liga.

Pada tahun 2019, dalam satu perlawanan sahaja kelab itu berjaya memperoleh lebih RM3.4 juta untuk penjualan barangan kelab sahaja.

Pencapaian ini merupakan sesuatu yang membanggakan malah kelab dari Malayia juga boleh menjadikan Buriram United sebagai contoh terbaik dari aspek konsepnya yang mampu menarik minat para penyokong.

Pada era kini, jersi tidak seharusnya dipakai semasa berada di atas padang mahupun semasa melakukan aktiviti sukan sahaja tetapi juga ketika melakukan aktiviti di luar padang, di majlis keramaian dan majlis separuh formal.

Cara Buriram United membudayakan pemakaian jersi di luar padang telah berjaya membuat peminat mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan jersi setiap musim.

Penjualan jersi yang menguntungkan ini semestinya dapat menjana pendapatan lebih buat kelab dengan lebih meluas selain bergantung kepada penajaan, penjualan tiket, penyiaran dan perpindahan pemain sahaja.

Tambahan pula, inisiatif kelab gergasi Thailand itu yang tidak menjalinkan kerjasama dengan pengeluar jersi juga semestinya dapat menguntungkan kelab tersebut secara total.

Langkah ini dilihat positif buat kelab tersebut dalam menambah pendapatan kelab tersebut.

Kelab bola sepak juga wajar membudayakan pemakaian jersi dengan mempelbagaikan konsep jersi agar boleh dipakai oleh peminat di mana-mana sahaja justeru akan dapat meningkatkan nilai jersi tersebut di masa akan datang.