Saingan Liga Malaysia semakin hilang serinya?
Liga Malaysia sudah pun memasuki fasa kedua untuk tahun ini dengan saingan Liga Super memasuki pusingan kedua, saingan Piala FA sudah tamat dengan Johor Darul Ta’zim (JTD) muncul juara dan saingan Piala Malaysia baru sahaja membuka tirai semalam.
Pada musim 2023, pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL) telah melakukan penstrukturan liga dengan menambah jumlah pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super dari 12 pasukan kepada 14 pasukan (pada awal perancangan 18 pasukan tapi akhirnya jadi 14 pasukan sahaja).
Tidak hanya Liga Super dirombak, MFL turut memansuhkan saingan saingan di divisyen dua iaitu Liga Perdana yang mana ia mungkin akan diperkenalkan semula dalam tempoh beberapa musim lagi.
Objektif utama penstrukturan liga dilakukan adalah untuk menjadi saingan liga domestik lebih kompetitif.
Dengan bola sepak negara beralih kepada penswastaan, ia dilihat sebagai satu perancangan yang cukup baik dalam meningkatkan kualiti saingan liga bagi menjadikan Liga Malaysia antara liga terbaik di rantau Asia Tenggara.
Bagaimanapun kerancakkan saingan liga tampak sudah semakin hilang serinya apabila tidak keterlaluan jika hendak mengatakan saingan Liga Malaysia kini didominasi oleh satu pasukan sahaja iaitu JDT.
Suka atau tidak itulah realiti yang sedang berlaku ketika ini apabila skuad Harimau Selatan dijangka akan merangkul kejuaraan liga buat kali ke-10 berturut-turut.
JDT juga baru sahaja merangkul Piala FA selepas menewaskan KL City FC di perlawanan akhir baru-baru ini dan mereka merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan Piala Malaysia yang kini sedang berlangsung.
Jurang yang terlalu jauh di antara JDT dan pasukan lain menyebabkan pasukan lain tidak berpeluang untuk memberi saingan langsung, dan dengan kuasa wang yang cukup besar JDT dijangka akan terus mendominasi untuk satu tempoh yang lama.
Baki 13 pasukan yang bersaing ketika ini hanya berpeluang untuk merebut tempat kedua sahaja untuk memburu slot ke saingan Piala Asia.
Konsistensi JDT cukup mengkagumkan berbanding pasukan lain yang prestasinya umpama ‘yo yo’ sekaligus membuatkan mereka gagal untuk memberi cabaran kepada pendahulu liga.
Antara faktor yang menyumbang kepada tidak konsisten sesebuah pasukan adalah masalah gaji yang sehingga kini masih lagi berlaku.
Jika sebelum ini masalah gaji ini sering berlaku pada pertengahan musim atau hujung musim, namun pada musim ini masalah gaji berlaku pada awal musim sekaligus memberi petunjuk bahawa banyak pasukan yang tidak bijak dalam perbelanjaan kelab.
Ada juga pasukan yang mengamalkan perbelanjaan ‘ukur baju di badan sendiri’, namun ia juga tidak dapat memberi saingan dek pasukan lawan berbelanja besar untuk mendapatkan pemain-pemain berkualiti.
Dalam pada itu, majoriti pasukan masih lagi tidak mempunyai fasiliti lengkap yang bukan sahaja menyukarkan barisan kejurulatihan tetapi juga pemain.
KL City adalah contoh terbaik kerana sehingga kini mereka masih tidak mempunyai fasiliti latihan apabila padang latihan mereka sering bertukar lokasi.
Sementara itu, antara faktor utama yang membuat peminat semakin bosan dengan siangan liga domestik adalah mutu pengadilan yang cukup teruk membuatkan bukan sahaja ketua jurulatih dan pemain berang, tapi juga peminat.
Jika sebelum ini mutu kualiti pengadilan sering dipertikai apabila membabitkan perlawanan besar, namun kini boleh dikatakan perlawanan pasukan ‘biasa’ juga tidak terlepas dari mutu pengadilan yang tidak berkualiti.
Isi mutu pengadilan ini saban tahun dibangkitkan, tapi sehingga kini masih tiada perubahan drastik yang dapat dilihat sekaligus membuatkan ramai yang kurang berminat untuk mengikuti perkembangan bola sepak tanah air.
Semua sedia maklum bahawa bola sepak adalah sukan yang menyatupadukan dan bukannya memecah belahkan, namun kini sebaliknya berlaku apabila semakin banyak pula insiden membabitkan peminat.
Musim ini agak mengecewakan apabila berlakunya beberapa insiden keganasan yang membimbangkan.
Isu keganasan kini tidak hanya terbatas pada pergaduhan di antara peminat, tetapi juga pengamal media dan staf pasukan turut menjadi mangsa keganasan sehingga menjadi kes polis.
Ia satu petanda yang kurang baik buat bola sepak tanah air kerana peminat yang hadir ke stadium membawa keluarga bersama kanak-kanak sekaligus menjadikan keadaan cukup berbahaya sekiranya peminat tidak bersalah menjadi mangsa.
Kini di media sosial menyaksikan ada pihak yang memulakan kempen #selamatkanbolasepaknegara dengan tujuan untuk memastikan peminat dapat menikmati perlawanan bola sepak tanpa perlu bimbang dengan keselamatan mereka.
Dengan bola sepak negara terutamanya pasukan kebangsaan memperlihatkan peningkatan yang cukup positif ketika ini, diharap saingan liga domestik juga memperlihatkan perkara sama supaya seiring sekaligus mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara ke peringkat antarabangsa.