Dalam kepala kami hanya nak jadi juara, tapi saya tak tahu kelebihan empat gol cukup atau tidak – Gerard Casas

273

Ketua jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas sudah memikirkan untuk menjadi juara Malaysia Premier Futsal League (MPFL) selepas menang 7-3 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir pertama sebentar tadi.

Katanya, mereka akan menganalisa perlawanan tersebut dan memperbaiki kelemahan dan melihat apa yang boleh ditambah baik menjelang perlawanan akhir kedua pada 14 Ogos ini.


“Jadi juara, itu sahaja dalam kepala kami sepanjang minggu ini, sudah tentu kami akan mengkaji permainan hari ini dan lihat apa yang boleh diperbaiki sebelum perlawanan kedua nanti.

Saya amat gembira kerana kami berjaya mencatatkan kemenangan yang cemerlang menentang pasukan yang kuat seperti JDT,”

katanya.

Beliau mengakui bahawa pasukannya tidak pernah menderita seperti malam ini apabila bermain di tempat sendiri iaitu di Kompleks Sukpa.

Walaubagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada kelebihan empat gol adalah cukup untuk dibawa ke perlawanan kedua nanti.

“Dah tentu kemenangan adalah satu keputusan yang baik tetapi saya tak tahu cukup atau tidak untuk perlawanan seterusnya.

Kami akan kehilangan beberapa pemain pada perlawanan kedua nanti kerana kad kuning.”