Beto: Akibat terlalu selesa akhirnya makan diri

1,276

Pemain baru Sarawak United FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri (Beto) mengakui pernah berasa terlalu selesa ketika bersama pasukan Perak FC akhirnya telah memakan dirinya sendiri.

Beto berkongsi kisahnya ketika prestasinya berada di puncak bersama pasukan gergasi utara Perak FC dari tahun 2015 hingga ke 2020 sebelum berhijrah ke PJ City FC dan terbaru Sarawak United FC.


“Sebelum ini saya pernah mendapat tawaran dari beberapa pasukan, namun saya telah menolak tawaran tersebut kerana sayangkan Perak dan sambung kontrak selama tiga tahun bersama pasukan itu.

Selepas saya kurang mendapat minit permainan saya cuba untuk mencari pasukan baru tetapi tiada pasukan yang mahukan khidmat saya. Ketika itu baru saya sedar sebelum ini saya berasa terlalu selesa hingga menyebabkan ia memakan diri saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selepas keluar dari Perak, Beto telah menandatangani kontrak selama setahun bersama PJ City FC, bagaimanapun beliau terus bergelut apabila hanya membuat sebanyak enam penampilan sahaja bersama pasukan yang berpengkalan di Petaling Jaya itu.

Beto sempat meluangkan masa untuk ditemubual Harimau Malaya.

Akibat sukar mendapat minit permainan, Beto telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Sarawak United FC untuk cuba menyelamatkan karier bola sepaknya.

Malah pengarah teknikal Sarawak, B. Sathinathan dan ketua jurulatih E. Elavarasan juga berjanji mahu naikkan semula prestasi Beto.

Dalam pada itu, bercerita mengenai saingan Liga Malaysia pada musim ini, Beto mengakui saingan Liga M3 tampak semakin meriah berbanding Liga Super dan Liga Perdana, malahan Liga M3 menyaksikan sebanyak 20 pasukan berentap untuk merebut kejuaraan.

“Saya lihat musim ini persiapan pasukan-pasukan di Liga M3 lebih rancak berbanding dengan Liga Super dan Liga Perdana. Pelancaran jersi dan pengenalan pemain mereka juga sangat hebat.

“Lebih hebat lagi apabila ramai nama-nama besar satu ketika dahulu kembali main dalam Liga M3. Saya rasa jika perlawanan liga itu ada siaran langsung, saya yakin ia akan dapat sambutan.”

Beto memulakan karier bola sepaknya bersama skuad Piala Belia Perak pada 2012 sebelum sertai skuad Piala Presiden Perak yang mana beliau telah membantu pasukan itu menjadi juara pada 2014.

Beliau kemudian bermain untuk skuad B-19 negara (Harimau Muda) di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee pada tahun 2013, namun tidak bertahan lama apabila Beto pulang semula ke Perak setahun kemudian.

Pada tahun 2015, Beto diserapkan ke skuad utama yang bermain di Liga Super, namun kemudian beliau bergelut untuk mendapatkan peluang untuk bermain. Beliau kemudian berhijrah ke PJ City, namun sekali lagi menerima nasib yang sama.

Untuk musim ini, beliau bermain untuk Sarawak United pula dan nekad untuk terus berjuang mendapatkan peluang dan minit permainan kerana mahu bantu pasukan Sarawak capai kejayaan selain mahu sarung jersi Harimau Malaya.