Bola sepak wanita di Malaysia dah banyak berubah – Niena Azman
Penjaga gol LMS Tigress, Niena Azman menegaskan bahawa bahagian tengah dan serangan pasukan itu harus diperbaiki selepas tewas 1-0 kepada Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP).
Katanya, bahagian serangan pasukan itu yang tidak cukup ampuh menyebabkan mereka tidak berjaya memberi ancaman kepada pihak lawan.
“Kita lihat tadi bahagian tengah dan serangan kita memang agak kurang, kita harus banyak perbaiki dua bahagian ini untuk perlawanan seterusnya.
Saya lihat bahagian pertahanan memang kesian kerana kita sering diserang,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, beliau melihat bahawa bola sepak wanita di Malaysia sudah berubah berbanding ketika kali terakhir beliau aktif pada tahun 2019.
Katanya, melihat persembahan baik yang ditampilkan SSMP yang rata-ratanya berumur 18 tahun ke bawah, ia menunjukkan potensi yang ada buat masa depan bola sepak wanita Malaysia.
Tambahnya, selepas lama tidak bermain secara kompetitif, beliau harus menyesuaikan diri untuk bermain semula.