Selepas Felda United bubar, Stadium Tun Abdul Razak dibuka kepada orang awam – Muhamad Saiful Shafiq
Sejak pembubaran pasukan Felda United pada tahun 2021, terdapat sebilangan peminat bola sepak tempatan yang tertanya-tanya nasib stadium yang digunakan pasukan itu, iaitu Stadium Tun Abdul Razak (STAR) di Jengka, Pahang.
Menjawab persoalan tersebut, pengurus STAR, Muhamad Saiful Shafiq Rahamat menjelaskan bahawa stadium itu masih lagi diselenggara seperti biasa, dan dibuka sewaan untuk orang awam.
“Selepas pasukan Felda United dibubarkan, stadium ini buka sewaan kepada orang awam untuk bermain di sini, kita ada beberapa slot yang dibuka dari pagi hingga ke malam.
Biasanya memang terdapat sewaan daripada orang awam sekitar komuniti setempat sebab mereka nak merasai suasana bermain di stadium ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Katanya, pihak pengurusan Felda masih lagi memperuntukkan bajet untuk penyelenggaraan stadium tersebut.
Tambahnya, selain daripada sewaan daripada komuniti setempat, STAR juga menjadi venue untuk beberapa kejohanan seperti Liga KPM serta Liga M5.
“Salah satu tujuan kita adalah untuk menjenamakan semula stadium ini, bukan sahaja dibuka untuk masyarakan peneroka Felda sahaja tetapi semua orang untuk merasai pengalaman bermain di sini.
Kita juga mahu terus jaga kualiti stadium ini kerana ini adalah satu mercu tanda untuk Felda sendiri.”
Beliau berharap bahawa lebih ramai orang lagi yang tahu bahawa stadium itu kini dibuka untuk sewaan kepada orang awam dan semakin ramai yang berminat untuk bermain di stadium tersebut.