Walaupun Felda United sudah tiada, Akademi Bola Sepak Felda masih lagi aktif hingga kini – Muhamad Saiful Shafiq

454

Walaupun sudah tiga tahun sejak kali terakhir kelibat pasukan Felda United bermain dalam saingan Liga Malaysia, Akademi bola sepak Felda masih utuh meneruskan legasi kelab yang pernah mendapat jolokan ‘giant killer’ itu.

Pengurus Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Muhamad Saiful Shafiq Rahamat berkata Akademi Bola Sepak Felda aktif membangunkan pemain-pemain muda bermula dari skuad Bawah 12 hingga ke Bawah 17.


“Walaupun kelab Felda United sudah tiada, tetapi Felda masih lagi mempunyai akademi bola sepak di mana kita membangunkan pemain muda daripada skuad B-12 hingga ke B-17.

Rugilah jika kita tak gunakan platform yang ada untuk kesejahteraan peneroka Felda itu sendiri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Mengenai ura-ura Felda United akan melakukan penampilan semula dalam kancah bola sepak tempatan, beliau tidak dapat memastikan perkara itu tetapi berharap ia dapat direalisasikan.

Katanya, pasukan itu dulu kala menjadi kebanggaan buat Felda dan berjaya menyatukan warga Felda di seluruh negara.

“Apabila Felda United ditubuhkan, ia menjadi kebanggaan buat warga Felda daripada pihak pengurusan hinggalah peneroka, Stadium Tun Abdul Razak juga menjadi tempat untuk warga Felda berkumpul untuk menonton perlawanan bola sepak.

Kita boleh lihat warga Felda di seluruh negara bersatu padu menyokong pasukan Felda United, memang meriah ketika itu, agak terkilan jugalah apabila pasukan itu dibubarkan.”

Kalai terakhir Felda United beraksi dalam saingan bola sepak tempatan adalah pada tahun 2020 di saingan Liga M3, sebelum dibubarkan akibat masalah kewangan.

Sepanjang penubuhan kelab itu sejak 2007, ia telah mengecapi beberapa kejayaan antaranya juara Liga Perdana 2010 dan 2018, naib juara Liga Super 2016, naib juara Liga Perdana 2014 dan naib juara Piala Malaysia 2014.

Felda United juga pernah beraksi dalam saingan Piala AFC pada tahun 2017.