Sepuluh hari sebelum Piala AFF B-23 berlangsung, Malaysia masih belum ada persiapan lagi ?

1,139

Menjelang kejohanan Piala AFF B-23 tahun yang bakal berlangsung kurang daripada dua minggu lagi, kem skuad negara B-23 tahun masih lagi sunyi sepi tiada khabar berita berkenaan persiapan barisan pemain yang bakal dibawa kelak.

Kejohanan yang berlangsung di Thailand itu dijadualkan akan bermula pada 17 Ogos 2023 dengan Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Timor Leste.


Ketika negara lawan lain seperti Brunei sudah memulakan latihan rasmi serta persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan tersebut, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap dalam mod senyap tanpa khabar berita lagi berkenaan barisan pemain yang akan dipilih.

Persoalannya kini, adakah badan induk tersebut memandang serius terhadap kejohanan yang akan berlangsung kurang daripada sepuluh hari lagi itu setelah sebelum ini mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam Sukan Asia Hangzhou 2023?

Dalam waktu yang begitu singkat, pasti akan menyukarkan pengendali Skuad B-23 negara iaitu E. Elavarasan untuk mempersiapkan pemain dengan corak dan tektikal permainan yang mahu diterapkan nanti.

Malah, kelewatan dalam membuat persiapan juga bakal memberikan kesan kepada persefahaman di antara barisan pemain yang akan dipilih kelak untuk memberikan aksi terbaik dengan rentak permainan yang mahu diterapkan oleh jurulatih.

Kali terakhir skuad muda dipanggil untuk menjalani latihan pusat adalah pada Febuari lalu dengan hanya satu perlawanan persahabatan sahaja yang berlangsung secara tertutup ketika itu.

Sekiranya tidak mahu aksi longlai dipersembahkan oleh barisan pemain dalam kejohanan itu nanti, maka FAM perlu segera mengambil langkah drastik ataupun sekurang-kurangnya membuat pengumuman nama-nama pemain yang bakal dibawa kelak lebih terdahulu sebagai persediaan buat para pemain.