Saya mahu skuad futsal Malaysia main seperti seekor harimau – Rakphol Sainetngam
Ketua jurulatih skuad futsal negara yang baharu, Rakphol Sainetngam mahu menerapkan gaya permainan seperti seekor harimau buat pasukan negara.
Katanya, Malaysia harus mempunyai gaya permainan tersendiri dan beliau melihat falsafah yang mahu diterapkannya mempunyai persamaan dengan seekor harimau.
“Kita tahu gelaran untuk Malaysia adalah Harimau Malaya, jadi kita perlu bermain sama sepertinya, kita harus ada falsafah tersendiri untuk pasukan.
Gaya permainan saya juga ibarat seekor harimau, apabila bertahan kita harus tenang, menunggu kesilapan lawan dan terus membunuh, apabila menyerang haruslah laju seperti seekor harimau dan bersedia untuk membunuh lawan,”
katanya.
Beliau berkata, sasarannya pada kejohanan akan datang iaitu Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 yang akan berlangsung Oktober ini adalah untuk memastikan Malaysia layak ke kejohanan itu.
Tambah Rakphol, buat masa ini beliau akan memilih pemain berdasarkan prestasi mereka dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL), tetapi menegaskan bahawa beliau mahu membangunkan pemain-pemain muda untuk masa depan.
“Buat masa ini kita akan pilih pemain berdasarkan prestasi mereka dalam liga, tetapi untuk masa depan kita kena bina generasi baru dalam arena futsal di negara ini.
Saya juga akan pilih pemain berdasarkan sikap mereka, keinginan untuk menang, selain mereka juga harus bersedia untuk berjuang bukan Sahaja 100 peratus tetapi 1000 peratus untuk negara.”
Beliau mengakui arena futsal di negara ini masih ketinggalan berbanding negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, tetapi beliau sudah melihat peningkatan terutama dalam saingan MPFL.
Rakphol merupakan bekas ketua jurulatih kelab Indonesia, Black Steel FC papua yang membawa pasukan itu menjuarai Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 pada Mei lalu, dan menduduki tangga ketiga saingan Liga Futsal Profesional Indonesia 2023.
Ketika di Thailand, beliau pernah mebimbing kelab Rattanabundit University (2009-2012) dan Chonburi Bluewave (2012-2019) dan meraih gelaran juara liga pada 2010, 2011/12, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017.
Beliau juga pernah membawa Chonburi Bluewave menjuarai Kejohanan Futsal Kelab AFC 2017.
Di peringkat kebangsaan pula, beliau pernah membawa Thailand layak ke pusingan 16 terakhir pada Piala Dunia Futsal 2021.
Rakphol pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik Liga Futsal Thailand sebanyak tujuh kali.