Kita beri kebebasan kepada Rakphol urus skuad futsal negara, FAM tak amalkan ‘tangan ghaib’ – Rosmadi Ismail

413

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail menegaskan bahawa ketua jurulatih skuad futsal negara baharu, Rakphol Sainetngam akan diberi kebebasan sepenuhnya dalam mengendalikan pasukannya.

Katanya, FAM tidak mencampuri urusan ketua jurulatih dalam membuat keputusan mengenai pasukan, selain turut akan meminta pendapat Rakphol dalam menambah baik saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL).


“Untuk pemilihan macam bias akita akan beri kebebasan penuh kepada jurulatih untuk memilih pemain terbaik, kita di pihak pengurusan FAM tak amalkan ‘tangan ghaib’, semuanya ikut selera jurulatih.

Untuk saingan liga pula, harus ada kerjasama rapat antara secretariat, pengurusan dan jurulatih untuk mewujudkan satu liga yang lebih kompetitif pada masa akan datang, kita akan minta pendapat daripada jurulatih juga,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis memperkenalkan Rakphol sebagai ketua jurulatih baharu skuad futsal negara menggantikan Chiew Chun Yong.

Mengenai sasaran yang diletakkan ke atas jurulatih yang berasal dari Thailand itu, beliau berkata bahawa ada sasaran tertentu yang diletakkan tetapi pada peringkat awal ini sudah tentu Rakphol memerlukan masa terlebih dahulu.

Selain itu, pihaknya juga akan menjalankan sesi pemilihan pembantu jurulatih skuad futsal negara yang akan diberi kepada jurulatih tempatan.

“Beliau akan dibantu oleh barisan kejurulatihan yang baharu, kita akan panggil untuk temuduga calon-calon dalam masa terdekat.

Untuk jawatan pembantu jurulatih, kita akan ambil jurulatih tempatan di mana kita juga mahu membangunkan jurulatih di negara ini terutama jurulatih muda.”

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata bahawa kontrak Rakphol adalah selama dua tahun, dan kem latihan kebangsaan untuk persediaan ke Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 akan bermula pada September ini.