Bola sepak adalah sukan nombor satu di Malaysia, kami bangga dapat kerjasama dengan FAM – Ong Sim Jeng

221

Pengarah Eksekutif Marco Worldwide Sdn Bhd, Ong Sim Jeng menyifatkan bahawa populariti sukan bola sepak di negara ini merupakan salah satu sebab utama mengapa pihaknya berminat untuk mengadakan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Katanya, beliau sudah berbincang mengenai kerjasama itu dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sejak sekian lama dan berbangga ia akhirnya menjadi kenyataan.


“Kita telah bekerjasama dengan Datuk Hamidin sejak sekian lama untuk laksanakan kolaborasi ini dan kita rasa amat berbangga diberi peluang untuk bekerjasama dengan FAM, ia adalah penting buat jenama kami dalam mengembangkan lagi pasaran di Malaysia.

Bola sepak adalah sukan nombor satu di negara ini, apabila kita bercakap mengenai bola sepak, tiada elemen perkauman dalam sukan ini di mana semua kaum bersatu menyokong pasukan kebangsaan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis kejasama antara FAM dan Marco Worldwide (M) Sdn Bhd di Wisma FAM sebentar tadi, di mana turut diadakan pelancaran jam tangan edisi terhad CAT x Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak potensi untuk bekerjasama dengan kelab-kelab bola sepak tempatan pula selepas ini.

“Kami boleh dikatakan ‘tamak’, kalau boleh nak jalinkan kerjasama sebanyak mungkin dalam sukan bola sepak ini kerana ia juga satu platform yang baik buat kami.

Tetapi buat masa ini kami akan menghormati kerjasama ini dahulu dan cuba tidak terlalu banyak sehingga menyulitkan jenama kami dan juga penajaan.”

Sim Jeng juga berkata bahawa pada masa hadapan mungkin mereka akan melebarkan lagi sayap ke sukan-sukan lain yang mendapat tempat di hati seluruh rakyat Malaysia.