Gabriel Nistelrooy terlepas Piala AFF B-23 kerana faktor terlebih bulan, Hazim dari Liga M3 bakal jadi tumpuan utama
Berikutan senarai 25 nama pemain yang telah dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat bersama skuad Harimau Malaya B-23 tahun yang akan bermula ahad ini, pemain Imigresen FC iaitu Muhd Hazim Abu Zaid terus mencuri perhatian ramai apabila namanya turut disenaraikan juga.
Anak jati Melaka itu mendapat perhatian pengendali skuad bawah 23 tahun negara, E. Elavarasan untuk diserap masuk dalam pasukan menjelang Kejohanan Piala AFF 2023 walaupun hanya beraksi dalam Liga M3 sahaja.
Selain pernah bersama pasukan Melaka United FC selama tiga musim, pemain sayap yang berusia 22 tahun itu sebelum ini juga pernah beraksi dalam Piala Sanix 2019 bersama skuad bawah 19 tahun negara ketika Bojan Hodak menjadi ketua jurulatih.
Dalam pada itu, sekali lagi peminat bola sepak tempatan bakal terlepas untuk melihat kelibat pemain muda negara yang sedang meningkat naik kini dalam saingan Piala MFL iaitu Gabriel Nistelrooy untuk beraksi dalam kejohanan itu.
Ini adalah kerana, walaupun pemain itu masih berusia 23 tahun tetapi kerana faktor sudah terlebih bulan membuatkan beliau tidak cukup syarat justeru tidak layak untuk menyertai Piala AFF B-23 yang bakal berlangsung di Thailand kelak.
Pemain berusia 23 tahun itu merupakan penjaring terbanyak dalam saingan Piala MFL 2023 dengan 12 jaringan gol serta diberikan gelaran sebagai ‘mesin gol’ dalam pasukannya iaitu Johor Darul Takzim 2.
Prospek pemain tempatan yang berkualiti seperti Gabriel pasti mempunyai masa depan yang cerah sekiranya dapat diberikan peluang untuk bermain bersama skuad senior Harimau Malaya suatu hari nanti.
Tambahan pula, dengan perlawanan persahabatan pada bulan September nanti pasti dapat meluaskan pemilihan pemain penyerang dengan kehadiran Gabriel untuk menguji ketajaman beliau di hadapan gawang pasukan lawan.
Walaupun menjadi satu kerugian kepada peminat bola sepak tempatan kerana tidak dapat melihat bakat pemain muda itu bermain dalam saingan Piala AFF B-23, dengan aksi yang konsisten pasti suatu hari nanti beliau akan dipanggil untuk mewakili skuad senior.