Gavin Green kecewa MGA tak hantar wakil Sukan Asia Hangzhou
Pemain golf profesional negara, Gavin Green menyuarakan kekecewaannya terhadap tindakan Persatuan Golf Malaysia (MGA) yang mengambil keputusan untuk tidak menghantar pemain untuk beraksi di Sukan Asia Hangzhou bulan depan.
Keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa pemilihan Sukan Asia yang telah menetapkan Malaysia hanya akan menghantar pemain yang berada di kedudukan lapan terbaik Asia.
“Sejujurnya saya tidak tahu mengapa mereka tidak mahu hantar wakil kerana ia dapat memberi pendedahan kepada pemain profesional negara jadi saya tak faham mengapa mereka tak hantar.
Saya tahu ada beberapa pemain yang tidak dapat pergi, tapi pada masa sama saya juga tahu ada ramai pemain yang mahu pergi.
Kita patut hantar pemain seperti Marcus Lim kerana beliau merupakan antara pemain amatur terbaik negara ketika ini, jadi kita patut hantar beliau untuk pendedahan dan pengalaman. Negara juga mempunyai ramai pemain wanita yang bagus untuk dihantar untuk dapat pendedahan dan pengalaman di peringkat antarabangsa,”
katanya.
Tambahnya lagi, pendedahan dan pengalaman tidak dapat dibeli dengan wang ringgit, oleh itu pihak bertanggungjawab perlu berkorban dan melabur bagi memastikan pemain negara mendapat pendedahan dan pengalaman secukupnya untuk menjadi lebih baik.
“Ibu bapa saya berkorban banyak untuk saya dan adik untuk kami berada di posisi kami sekarang ini, jadi kita perlu berkorban dan melabur untuk dapatkan keputusan.
Kalau anda tidak mahu melabur tapi nak dapat keputusan baik ia adalah mustahil. Kita perlu bersikap lebih realisitik.”
Gavin pada masa sama turut terkilan dengan situasi yang berlaku ketika ini dan berharap selepas ini pemain golf profesional negara akan mendapat sokongan penuh untuk tingkatkan kualiti pemain kerana negara mempunyai ramai pemain berkualiti.
Sementara itu, Gavin memberitahu kejohanan Corolla Cross Cup 2023 yang sedang berlangsung ketika ini adalah kejohanan terakhirnya di Malaysia sebelum beliau kembali ke Eropah untuk beraksi di DP World Tour.
“Ini mungkin kejohanan terakhir saya bermain di sini dan saya perlu kembali ke Eropah untuk bermain di sana sepenuh masa.”