Daeng Abdul Rahman akui bergelut untuk kembali ke prestasi sebenar
Pemain golf profesional negara, Daeng Abdul Rahman memberitahu tahun ini merupakan tahun terburuknya apabila bergelut untuk mempamerkan permainan cemerlang sepanjang kejohanan yang disertainya.
Daeng yang beraksi dalam kejohanan Corolla Cross Cup 2023 menamatkan saingan hari pertama dengan lima di atas par untuk berkongsi kedudukan ke-55 dengan 77 pukulan.
“Saya bermain 5 di atas par hari ini. Pada first nine saya bermain par tapi pada second nine saya bergelut dan terpaksa akur dengan tiga bogey dan dua double bogey untuk menamatkan hari pertama dengan lima di atas par.
Ketika ini saya sedang melakukan sedikit perubahan swing saya jadi sekarang ini perlukan masa untuk membiasakan diri dengan swing baru, jadi saya perlu lebih bersabar dan insyaAllah saya akan bermain dengan lebih baik selepas ini,”
katanya.
Beliau merupakan prospek besar negara selepas mencipta sejarah apabila menjadi pemain golf termuda Malaysia untuk menjuarai kejohanan Profesional Golf Malaysia (PGM), PGM Danau pada tahun 2015 ketika berusia 15 tahun.
Kejayaannya itu telah membuatkan beliau mendapat anugerah PGM Young Achievers pada tahun yang sama.
Sejak dari itu, prestasi beliau terus melonjak apabila berjaya menang dua lagi kejohanan iaitu PGM Port Dickson 2017 dan PGM Perlis 2019.
“Sudah pasti saya berasa kesal apabila ketika sedang berada dalam prestasi terbaik COVID-19 melanda negara dan selepas tamat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) saya cuba untuk dapatkan semula rentak permainan saya.
Untuk enam kejohanan tahun ini termasuk Corolla Cross Cup saya boleh katakan ia adalah tahun terburuk saya dan agak tertekan juga tapi saya perlu terus bekerja keras untuk perbaiki permainan saya.”
Daeng kini berada di kedudukan ke-18 dalam Toyota Tour dengan berjaya mengumpul wang hadiah berjumlah RM14,186.00.