Padang SNBJ siap hujung Ogos, jika tidak FAM ada pelan B untuk Pestabola Merdeka – Mohd Firdaus
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed mengesahkan pihaknya mempunyai pelan B sekiranya penggantian tumput di padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak dapat disiaipkan menjelang kejohanan Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober ini.
Jelasnya, berdasarkan apa yang diberitahu oleh pihak Kementerian Beliau dan Sukan (KBS), penukaran rumput di SNBJ bakal siap pada penghujung Ogos ini.
“Untuk pengetahuan proses penambahbaikan sudah berlangsung awal bulan dan saya difahamkan bahawa hujung Ogos ini akan siap, kita yakin sebelum sepak mula Pestabola Merdeka padang yang dijanjikan KBS akan siap.
Jika ada apa-apa yang berlaku, kita di FAM sentiasa ada pelan B, cuma buat masa ini kita tidak akan beritahu lagi, sampai masanya kita akan umumkan,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis undian Pestabola Merdeka 2023 di Wisma FAM sebentar tadi.
Ketika ini, padang di SNBJ yang sebelum ini menggunakan rumput ‘cow grass‘ sedang menjalani proses penukaran kepada rumput Zeon Zoysia.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berharap bahawa kejohanan itu akan berjaya menarik minat peminat bola sepak tempatan untuk membanjiri stadium.
“Kita sudah rancang banyak program sepanjang kejohanan itu nanti, justeru kita harapkan stadium dapat dipenuhi oleh penyokong.
Kita juga laksanakan penjualan tiket kombo di mana setiap kombo boleh digunakan untuk dua perlawanan dalam satu hari, iaitu 13 Oktober dan 17 Oktober.”
Tambah Azman, buat masa ini hadiah yang ditawarkan untuk pemenang kejohanan itu adalah berupa piala dan pingat sahaja.