Harimau Malaya sediakan platform buat kelab komuniti, pasukan amatur kenalkan diri

854

Atlet-atlet ternama dunia tidak kisahlah dalam sukan apa sekalipun, seperti Lionel Messi, LeBron James, Roger Federer dan ramai lagi pastinya bermula dari bawah sebelum mencapai kejayaan yang mereka kecapi pada hari ini.

Pada satu ketika, mereka pernah merasai bermain di peringkat bawah atau amatur, terutama ketika awal penglibatan ketika usia muda.


Sebenarnya penglibatan di peringkat pembangunan adalah amat penting dalam membentuk seseorang atlet itu pada masa hadapan.

Di Malaysia sendiri, contohnya dalam sukan bola sepak, banyak kelab komuniti yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Kelab komuniti juga sebenarnya telah banyak berjasa dalam membangunkan pemain hebat contohnya pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar yang bakatnya dikesan daripada Liga Sosial.

Beliau pernah mewakili Marcerra United di Liga Kuala Lumpur dan kelab NPNG, di Liga Selangor, dan kini beliau merupakan salah seorang tonggak pertahanan Harimau Malaya.

Justeru, untuk menghargai jasa kelab atau pasukan amatur dalam membangunkan atlet-atlet dari peringkat pembangunan, Harimau Malaya mahu memberi platform bagi memperkenalkan kelab kepada peminat sukan di luar sana.

Dengan platform yang diberikan, secara tidak langsung ia boleh membuka ruang kepada lebih ramai lagi bintang-bintang baharu untuk dibentuk menjadi atlet berkelas dunia.

Bukan sahaja dalam sukan bola sepak, sukan-sukan lain seperti badminton, olahraga dan hoki, mahupun sukan-sukan yang tidak popular seperti bola baling, memanah dan lain-lain, ini adalah peluang anda.

Sesiapa yang berminat untuk menggunakan platform Harimau Malaya bagi memperkenalkan pasukan atau kelab amatur mereka, boleh hubungi Harimau Malaya melalui sosial media Facebook atau Instagram.

Apa yang penting adalah, inisiatif ini adalah percuma bagi menghargai jasa pasukan amatur atau komuniti di negara ini dalam memeriahkan serta membangunkan arena sukan negara.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen