Main bagus hari ni tapi tak ada ‘luck’ saja – Dino Fowler

165

Pemain golf profesional negara, Shahriffuddin Ariffin berpuas hati dengan permainannya pada hari kedua kejohanan Corolla Cross Cup 2023 apabila menamatkan permainan dengan dua di atas par dengan 74 kumpulan.

Menurut Shahriffuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Dino Fowler, beliau bermain dengan baik hari ini namun tiada tuah pada beberapa lubang menyebabkan beliau terpaksa berpuas hati dengan skor dua di atas par.


“Hari kedua ini agak sukar bagi saya tapi saya masih dapat recover kesilapan-kesilapan. Keadaan padang juga berada dalam keadaan baik.

Saya tak pasti nak komen mengenai permainan saya hari ini sebab chipping dan putting bagus, cuma tiada ‘luck’ sahaja hari ini. Golf kan biasalah ada turun naik, kadang-kadang kita dah cuba sedaya upaya pun tak dapat juga, jadi tak boleh nak paksa kita terima saja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tamat pusingan hari kedua, Dino Fowler berada di kedudukan ke-29 bersama tujuh pemain lagi.

Menjelang hari terakhir kejohanan yang berlangsung di Palm Garden Golf Club, beliau akan mengubah strategi permainannya esok kepada lebih agresif untuk cuba memperbaiki kedudukan.

“Untuk esok mungkin saya akan bermain dengan lebih agresif sedikit dan ubah sedikit taktik untuk perbaiki skor.”

Terdahulu, pemain golf berusia 24 tahun ini merupakan pemain tumpuan pada tahun ini selepas mengharungi musim yang cukup cemerlang pada tahun lalu apabila berjaya memenangi empat kejohanan iaitu PGM Maybank Closed Championship, PGM Kia Closed Championship, PGM Port Dickson Closed Championship dan Selangor Masters Championship ADT.

Beliau juga pernah menjuarai PGM Tiara Closed Championship 2017 dan PGM Labuan Championship ADT 2018 termasuk memenangi tiga anugerah PGM Tour Of Merit Winner pada tahun 2017, 2018 dan 2022.