Golf Malaysia semakin berkembang tapi perlu anjurkan lebih banyak kejohanan – Dino Fowler

283

Pemain golf profesional negara, Shahriffuddin Ariffin mengakui sukan golf di Malaysia memperlihatkan perkembangan yang positif apabila mendapat sambutan baik dari segi semakin ramai pemain profesional dan juga sokongan peminat.

“Memang ada beza masa saya menjadi profesional dahulu berbanding sekarang yang mana saya dapat lihat perubahan yang ketara kepada pemain, penganjuran kejohanan yang semakin berkualiti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Shahriffuddin atau lebih mesra dengan panggilan Dino Fowler bagaimanapun berharap selepas ini lebih banyak kejohanan golf tempatan dianjurkan dan menjadikan negara jiran Thailand sebagai contoh terbaik.


Menurut Dino Fowler, di Thailand mereka menganjurkan banyak kejohanan dan disebabkan itu mereka mampu melahirkan ramai pemain berkualiti setaraf dengan pemain PGA Tour.

“Di Thailand mereka anjurkan lebih tiga kejohanan dalam tempoh sebulan jadi pemain-pemain mereka sangat bagus. Tambahan pula, cut mereka pula -3 dan -2 jadi pemain mereka sudah seperti standard PGA Tour.

Jadi mengapa kita tidak boleh buat kerana kita juga mempunyai banyak pemain berkualiti. Untuk majukan sukan golf di negara ini kita perlu ada pemain yang mampu menang kejohanan di luar negara, baru orang Malaysia nampak dan dari situ generasi muda akan nampak dan mahu ikut jejak langkah.

Oleh sebab itu kita kena anjurkan lebih banyak kejohanan supaya pemain-pemain negara dapat momentum terbaik apabila menyertai kejohanan antarabangsa.”