Kemenangan hari ini ‘balas dendam’ selepas aksi hambar di Supra Cup 2023 – Gavin Green
Pemain golf profesional negara, Gavin Green berjaya menebus kekecewaannya pada kejohanan Supra Cup 2023 pada bulan lalu apabila beliau berjaya menjuarai kejohanan Corolla Cross 2023 sebentar tadi.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Palm Garden Golf Club, Putrajaya menyaksikan Gavin mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya bermain 16 di bawah par dengan 200 pukulan (67, 66, 67).
“Saya gembira dapat kembali bermain di Malaysia di hadapan keluarga dan rakan-rakan yang mana saya sangat seronok sepanjang kejohanan ini.
Kemenangan hari ini boleh dikatakan sebagai balas dendam untuk diri sendiri selepas aksi hambar dalam kejohanan Supra Cup baru-baru ini.
Saya sentiasa mahu push diri untuk menjadi lebih kuat dan bermain dengan lebih baik supaya dapat terus kekal di hadapan,”
katanya.
Tambahnya lagi, beliau berharap selepas ini lebih banyak kejohanan-kejohanan besar golf akan dianjurkan di negara selepas sekian lama.
“Saya rindu untuk bermain dalam kejohanan besar dalam negara dan agak sedih ketika ini apabila tiada sebarang kejohanan besar buat masa ini, tapi saya harap selepas ini kejohanan besar akan dianjurkan yang mana ia akan memberi ruang dan peluang kepada pemain tempatan untuk dapat pendedahan dan pengalaman.”
Dalam pada itu, beliau turut berkata kemenangan ini juga akan menjadi tonik tambahan buat dirinya sebelum beliau terbang ke Eropah untuk DP World Tour.
“Jadual saya selepas ini sangat sibuk di mana saya mempunyai lapan ke sembilan kejohanan akan datang ini dengan setiap minggu saya akan sertainya.”
Susulan itu, beliau berkata akan berehat dengan secukupnya dan melepaskan rindunya terhadap makanan Malaysia sebanyak yang mungkin selepas beliau berangkat ke luar negara.
Sementara itu, Gavin turut memberitahu bahawa beliau kini berada di landasan tepat dalam mengejar slot ke Sukan Olimpik Paris pada tahun hadapan.