Mengapa tidak angkat yo-yo ini jadi satu sukan seperti breakdance dan e-sukan? – Hassan Marialis

174

Pemain yo-yo profesional, Hassan Marialis mahu lihat sukan ini diiktiraf setara dengan sukan-sukan konvensional yang lain dalam tempoh lima tahun kehadapan memandangkan sudah ramai yang berjinak-jinak mencuba permainan ini.

Yo-yo boleh dikatakan sebagai salah satu permainan yang menjadi fenomena suatu ketika dahulu apabila dimainkan oleh pelbagai tingkat umur baik kanak-kanak mahupun mereka diperingkat dewasa.


Hassan yang kini sudah berusia 35 tahun menyatakan hasrat agar sukan kegemarannya ini mampu berkembang dan diangkat untuk menjadi satu sukan yang dipertandingkan dalam acara sukan yang besar seperti sukan skateboarding, e-sukan dan juga breakdance yang kini sudah dipertandingkan di peringkat Sukan Asia.

“Dulu yo-yo saya main dengan sekadar jadi hobi namun sekarang kita berlatih sampai berpeluh-peluh dan ada juga kecederaan disebabkan koreografi yang dilakukan jadi dari situ saya lihat mengapa tidak angkat yo-yo ini jadi satu sukan memandangkan e-sukan pun sekarang sudah dimainkan di peringkat-peringkat tertinggi,”

“Tapi saya faham mungkin kami punya komuniti ini belum cukup besar seperti breakdance atau e-sukan yang sudah diangkat ke acara-acara sukan besar dan mungkin dalam tempoh 5-10 tahun lagi mereka akan iktiraf sukan yo-yo ini,”

ulasnya.

Hassan sendiri yang sudah bermain yo-yo secara kompetetif sejak tahun 2004 memberitahu bahawa ada satu sebab yang menghalang daripada sukan ini untuk terus berkembang terutama dalam negara kita sendiri yang mana ia adalah disebabkan masalah kewangan.

“Apa-apa sukan atau komuniti di Malaysia ini yang nak berkembang satu sahaja iaitu kewangan, jika kewangan kukuh boleh memperbanyakkan pertandingan yang mana kita sendiri banyak pemain-pemain atau penggemar sukan yo-yo ini namun disebabkan tidak banyak pertandingan akhirnya mereka kurang pendedahan,”

Selain itu, yo-yo sememangnya satu permainan yang tidak asing lagi bagi negara Jepun terutama apabila banyak kejohanan-kejohanan yang dipertandingkan bermula di negara matahari terbit itu.

Hassan turut memberitahu bahawa Jepun antara salah satu negara yang mana permainan yo-yo ini seakan tidak lapuk dek zaman disebabkan ada Sahaja kejohanan dan acara yo-yo yang dianjurkan di setiap pelosok negara tersebut.

“Kalau macam di negara Jepun sendiri mereka mempunyai pertandingan bagi setiap negeri atau daerah sehinggakan ke peringkat kebangsaan yang mana mereka mempunyai kejohanan yo-yo yang berstruktur.”

Hassan yang pernah memenangi Kejohanan Yo-yo Peringkat Kebangsaan sebanyak enam kali kini sedang berada di Jepun untuk menyertai World Yo-yo Contest 2023 di Osaka bermula 16 Ogos ini dan kami di Harimau Malaya tidak mahu melepaskan peluang untuk mengucapkan selamat maju jaya!