Kami mahu mulakan era baru di LaLiga – Adrian Prol Vazquez
Berikutan keputusan pihak LaLiga untuk menukar logo yang baru bermula musim 2023/2024 ini, delegasi LaLiga Malaysia iaitu Adrian Prol Vazquez menjelaskan bahawa penukaran itu adalah untuk memberi nafas baru serta lebih segar kepada liga itu.
Ini adalah kerana liga tersebut telah melalui banyak perubahan secara mendadak maka wajar untuk pihak LaLiga datang dengan idea serta konsep yang baru.
“LaLiga telah mengalami banyak perubahan sepanjang 10 tahun kebelakangan ini, kami semakin besar begitu juga dengan staf-staf kami jika dahulu hanya 100 orang sahaja tetapi kini sudah bertambah dan melebihi 600 orang,”
katanya kepada Harimau Malaya.
LaLiga juga dijangkakan bakal meneruskan legasi mereka ke seluruh dunia demi mempromosikan liga serta sukan bola sepak kepada masyarakat dunia.
Ini kerana beliau berpandangan tindakan itu juga dilihat mampu menarik minat orang ramai secara tidak langsung.
“Kami merupakan satu-satunya organisasi sukan di dunia yang telah melebarkan sayap ke seluruh dunia dengan kini sudah melebihi 40 pejabat di seluruh dunia serta 44 delegasi secara global dan akan terus berkembang di masa akan datang.”
Tambahan pula, LaLiga mahu melakukan perubahan ke arah yang lebih produktif dan besar di peringkat antarabangsa serta komited untuk membuka lembaran baru kepada para peminat sukan bola sepak seluruh dunia akan perkembangan LaLiga.
“Kami mahu memulakan era yang baru di dalam LaLiga, begitu juga dengan logo serta identiti yang baru.”
Penukaran logo LaLiga baru akan membawa mesej ‘The Power Of Football’ dijangka akan terus menarik lebih ramai peminat di masa akan datang.