Shahril Saa’ri tolak tawaran pasukan lain untuk terus bersama KDA FC

800

Penjaga gol Shahril Saa’ri memberitahu bahawa beliau ada menerima beberapa tawaran dari pasukan lain selepas tamat musim lalu, namun menolaknya kerana mahu kekal bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

“Alhamdulillah memang ada beberapa tawaran dari pasukan lain selepas tamat saingan liga musim lepas. Namun hati saya lebih kuat di Kedah, jadi saya ambil keputusan untuk terus kekal di Darul Aman semusim lagi,”

ujarnya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: KDA FC Facebook

Shahril menjadi pilihan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak untuk menjadi penjaga gol utama Kedah selepas Ifwat Akmal Chek Kassim dihimpit kecederaan lutut kiri yang memaksanya berehat lama.


Aksi cemerlang Shahril berjaya memikat hati peminat terutamanya ketika Kedah beraksi dalam saingan play-off Liga Juara-Juara AFC menentang FC Seoul.

Walaupun boleh dianggap sebagai penjaga gol utama Kedah ketika ini, namun beliau tidak mahu berasa selesa sebaliknya akan terus bersaing secara sihat dengan penjaga gol Kedah yang lain untuk diturunkan.

“Saya mempunyai rakan sepasukan yang bagus, dan akan sokong antara satu sama lain tidak kira siapa yang akan diturunkan jurulatih untuk bermain.”

Sumber foto: KDA FC Facebook

Bercerita lanjut mengenai persiapannya bagi menghadapi musim baru, Shahril berkata musim ini beliau perlu bekerja dengan lebih keras lagi bagi mengekalkan tahap permainan yang tertinggi kerana musim ini Kedah akan bermain di AFC.

Tambahnya lagi, walaupun musim ini banyak perubahan berlaku dalam pasukan Kedah terutamanya ramai pemain baru tetapi beliau yakin gabungan antara pemain lama dan baru mampu beri impak positif.

“Walaupun ramai pemain lama yang keluar, tetapi saya lihat tidak banyak perbezaan daripada musim lalu. Ketika ini kami cuba untuk terapkan persefahaman antara satu sama lain.

“Alhamdulillah hari demi hari nampak perubahan yang positif antara pemain baru dan lama. Yang lebih penting adalah mengekalkan keharmonian di dalam pasukan.”

Shahril meletakan sasaran untuk sekurang-kurangnya membawa balik satu piala untuk Kedah musim ini.