Adakah Kejohanan Piala AFF semakin tidak relevan lagi ?

603

Dengan perkembangan bola sepak yang semakin pesat di Asia Tenggara kini, saingan kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) atau lebih dikenali dengan Piala AFF dilihat semakin tidak relevan lagi dari masa ke semasa.

Hal ini berikutan jadual kejohanan tersebut yang masih tidak berada di dalam kalendar Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).


Walaupun sebelum ini badan bola sepak antarabangsa itu sudah memberi cadangan agar kejohanan tersebut dinaik taraf sebagai kejohanan rasmi di bawah FIFA, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas rasmi daripada pihak AFF sendiri.

Jika sebelum ini kejohanan Piala AFF dianggap sebagai kemuncak saingan bola sepak di peringkat Asia Tenggara, tetapi kerana saingan itu tidak memberi banyak kesan kepada kedudukan ranking negara yang bertanding maka kejohanan itu dianggap tidak begitu sesuai lagi untuk disertai.

Malah saingan Piala AFF dilihat hanya memberi bebanan kepada kelab bola sepak untuk melepaskan pemain mereka ketika saingan liga sedang berlangsung serta bakal merisikokan pemain utama mereka dengan masalah kecederaan.

Masalah pelepasan pemain ini juga sedang hangat menyelubungi kem bola sepak Indonesia kerana ramai pemain masih tidak mendapat persetujuan daripada kelab untuk dilepaskan ke saingan Kejohanan Piala AFF B-23 yang akan bermula minggu hadapan.

Ketiadaan tonggak yang diperlukan untuk mewakili negara di dalam saingan tersebut pasti membebankan mana-mana pengendali skuad kebangsaan kerana sedikit sebanyak akan mengganggu rancangan yang sudah dibuat dengan teliti sebelum ini.

Saingan Piala AFF B-23 ini bakal membuka tirainya pada 17 Ogos 2023 dengan pasukan Malaysia diundi di dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Timor Leste

Pihak AFF khusunya perlu mendapatkan pengiktirafan daripada badan bola sepak antarabangsa itu agar dapat merancakkan lagi kejohanan tersebut justeru semestinya masalah kelab bola sepak yang tidak mahu melepaskan pemain mereka dapat dinoktahkan.