Kelab yang berbelanja besar sudah pasti mahu keputusan yang tepat – Nasaruddin Ishak
Nasaruddin Ishak, bekas pengadil kebangsaan 1999-2006 memaklumkan kehadiran Video Assistant Referee (VAR) merupakan satu langkah yang baik dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam memastikan peminat dan kelab bola sepak merasai perlawanan yang lebih adil daripada sudut pengadilan.
Nasaruddin yang juga bapa kepada pengadil kebangsaan, Nazmi Nasaruddin memaklumkan anaknya kini sedang menghadiri kursus perlesenan VAR bagi persediaan membawa metod pengadilan canggih itu ke Liga Super Malaysia tidak lama lagi.
Nazmi yang bakal pulang tidak lama lagi akan menjadi instruktur dalam kursus pengadilan VAR di bawah FAM bersama-sama dengan beberapa lagi perwakilan daripada Kesatuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA).
“Bukan Nazmi yang pertama tetapi ada lagi pengadil lain yang sudah memiliki lesen VAR cuma belum sempat digunakan di liga tempatan dan hanya bagi perlawanan antarabangsa tapi sekarang FAM sudah uar-uarkan bahawa bakal menggunakan VAR dalam saingan Liga Super Malaysia jadi Nazmi di hantar bagi mendapatkan lesen sekaligus akan menjadi instruktur bagi kursus VAR di Malaysia nanti,”
jelasnya kepada Harimau Malaya.
Menurut Nasaruddin sendiri kehadiran VAR secara tidak langsung akan memastikan usaha dan modal yang dikeluarkan oleh kelab-kelab di Malaysia menjadi lebih berbaloi dengan adanya keputusan yang lebih tepat dapat diberikan dalam setiap perlawanan selepas ini.
“Semua orang mahukan keputusan yang tepat tidak mengira penyokong mahupun kelab yang mengeluarkan belanja yang besar jadi mereka memerlukan mutu pengadilan yang tepat dan bagi saya VAR ini merupakan satu inisiatif yang betul kerana hanya berdasarkan daripada video ulang tayang kita dapat memberikan keputusan yang tepat,”
Mejawab berkenaan mutu pengadilan di Malaysia yang kini sudah semakin baik, Nasaruddin memaklumkan para pengadil yang bagus pada masa kini adalah disebabkan atas usaha mereka sendiri dalam memastikan setiap tugas yang diberikan diadili dengan baik dan berilmu.
Menurut beliau yang pernah bertugas sebagai pembantu pengadil FIFA itu ada beberapa langkah yang dilakukan oleh para pengadil untuk memastikan tiada atau minima kesalahan yang dilakukan semasa mengadili sebuah perlawanan baik di peringkat domestik mahupun yang berprofil tinggi.
“Kami pengadil belajar daripada kesilapan orang lain dan dari kesilapan itu kami kaji dan analisis sendiri kesalahan dan peraturan supaya tidak berlaku kepada kami sewaktu menjalankan tugas kerana pengadil ini apabila mereka berada di lapangan mereka tetapkan dalam diri sejak awal tidak mahu melakukan kesilapan,”
“Namun pengadil juga manusia, jadi apabila berlaku kesilapan kita memang tidak dapat nak elak tetapi bagi pengadil sejujurnya cuba untuk tidak membuatkan kesilapan terutama jika ia mampu mengubah keputusan perlawanan.”
Nasaruddin selaku bekas pengadil kebangsaan amat berharap akan lebih ramai pengadil-pengadil tempatan diiktiraf FIFA sekaligus mengadili perlawanan-perlawanan yang berprofil tinggi di peringkat antarabangsa selain mutu pengadilan di Liga Super Malaysia turut dipertingkatkan bagi membuktikan kepada peminat bola sepak bahawa pengadi di Malaysia adalah antara yang terbaik.