Import baharu masih belum dapat turun, tuntutan tunggakan gaji pula terus hantui Kelantan FC

2,579

Selepas sekian lama tidak mencatatkan kemenangan dalam Liga Super, kem Kelantan FC ceria apabila berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC dalam perlawanan Liga Super baru-baru ini.

Namun ia disusuli dengan berita yang kurang enak apabila kelab itu diperintah untuk membayar hutang kepada dua bekas pemainnya berjumlah RM574,000 dalam tempoh 30 hari.


Memetik laporan Harian Metro, keputusan itu dikeluarkan oleh Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC), di mana Kelantan perlu menjelaskan tunggakan gaji dan baki kontrak kepada Mohd Nazrin Mohd Nawi dan Mohd Farisham Ismail.

Di saat Kelantan kelihatan sudah mendapat motivasi semula untuk bangkit, kes ini boleh menjadi satu penghalang buat pasukan itu.

Walaupun membawa masuk empat pemain import pada hari terakhir jendela pendaftaran pemain kedua baru-baru ini, mereka masih belum dapat membuat penampilan dengan skuad itu.

Berdasarkan hantara ringkas pemilik kelab, Zamsaham di Facebooknya baru-baru ini, ia seolah-olah ada kaitan dengan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Namun, sehingga kini masih tiada penjelasan mengenai sebab kesemua import tersebut tidak dapat diturunkan lagi.

Sebelum ini, Kelantan pernah dikenakan sekatan pendaftaran pemain disebabkan masalah tunggakan gaji oleh FAM, walaupun ia sudah ditarik semula.

Dengan kes terbaru melibatkan Nazrin dan Farisham ini, Kelantan mungkin bakal berdepan kesukaran untuk mendaftarkan pemain baharu selepas ini.

Tempoh 30 hari adalah amat singkat, dan jika Zamsaham tidak menjelaskan jumlah RM574,000 itu, ia boleh merencatkan motivasi skuad itu yang kini sedang cuba bangkit.

Namun, ia perlu dijelaskan atau jika tidak, mungkin terdapat lebih banyak sekatan dan denda yang terpaksa dihadapi.