Jadi pemain termahal Homebois memang beri tekanan – Xorn
Selepas Homebois gagal mencapai sasaran menjuarai saingan Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL Malaysia) pada musim lalu, mereka telah membuat perubahan dengan membawa masuk pemain baru iaitu Xorn untuk memperkuatkan pasukan untuk musim ke-12 kali ini.
Xorn atau nama sebenarnya Mohammad Zul Hisham Mohd Noor menjadi pemain termahal pasukan tersebut selepas Homebois menandatanganinya dengan misi untuk menjulang kejuaraan pada musim ini.
Mengakui tanda harga mahal sedikit sebanyak memberinya tekanan, namun beliau tetap yakin mampu membantu pasukannya untuk merealisasikan sasaran mereka.
“Ya sudah semestinya apabila menjadi pemain termahal dalam pasukan ia akan memberi sedikit tekanan pada diri saya.
Tapi saya yakin dengan kemampuan saya untuk bantu Homebois sekaligus mahu membalas kepercayaan yang diberikan kepada saya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Xorn merupakan antara pemain yang cukup terkenal dan veteran dalam saingan MPL Malaysia kerana beliau sudah bertanding dalam saingan liga sejak tahun 2018 lagi dan merupakan antara pemain yang digeruni pihak lawan.
Dalam pada itu, bagi pemilik Homebois iaitu Daddyhood pula beliau tidak melihat tanda harga tinggi Xorn adalah satu bebanan besar buat pemain itu sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab buat dirinya.
“Sebenarnya saya tidak pernah meletak sebarang beban dengan pemain saya tapi bagi saya bukan beban sebaliknya satu tanggungjawab.
Mungkin beliau merasakan dengan tanda harga tinggi beliau perlu membalas balik dengan membawa pasukan menjuarai saingan MPL Malaysia. Mana tahu mungkin Xorn adalah orang yang akan membawa kita menjadi juara setiap musim selepas ini.”
Tambahnya lagi, tanggungjawab tersebut tidak terletak di bahu Xorn seorang sahaja, sebaliknya tanggungjawab itu turut dipikul bersama rakan sepasukan yang lain kerana mereka bermain dalam satu pasukan.