Benarkah ada ‘gejolak’ dalam kem terjun negara?

1,563

Setelah persaraan dua penerjun senior negara Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong, muncul desas-desus mengatakan ada faktor tertentu yang membuat dua atlet ini mengambil keputusan untuk mengakhiri karier mereka sebagai penerjun negara.

Persoalan ini timbul apabila bekas ketua jurulatih negara, Yang Zhuliang meninggalkan komen di kiriman Facebook milik Jun Hoong yang mengumumkan persaraannya pada 3 Januari lalu membawa seribu satu persoalan kepada peminat sukan terjun tanah air. 


Bukti Coach Yang yang memberikan komen di kiriman Facebook milik Jun Hoong

Komen yang ditinggalkan dalam bahasa Cina itu berbunyi “kuil yang kecil tetapi beracun, bukannya kolam yang dalam tetapi penuh dengan kura-kura, walaupun hidupnya indah dan berniat untuk menyumbang pingat emas kepada dunia sekalipun, tapi hati orang siapa yang tahu, hanya itu boleh dikatakan, gelombang ini terlalu ketara.”

Meskipun selama ini kem terjun negara dilihat tenang sahaja, ternyata ada juga ‘gelombang’nya. Kenyataan Coach Yang memberi bayangan seakan ada sesuatu ‘toksik’ di dalam kem negara. Ketika Harimau Malaya cuba mendapatkan jawapan dari Mun Yee sebagai penerjun yang paling senior sebelum persaraannya, beliau seakan-akan mengelak untuk menjawab persoalan tersebut.

Tonton video penuh sesi temubual bersama Mun Yee di YouTube rasmi HarimauMalaya

Apa kebenaran dan kesinambungan dari khabar angin ini? Hanya individu yang berada di dalam kem terjun tersebut yang boleh menjawabnya. Seandainya benar ia berlaku, ia adalah sesuatu yang amat merisaukan apabila kelak kita akan terpaksa kehilangan lagi aset terjun negara yang berpotensi besar untuk masa depan sukan terjun di negara kita. 

Diharapkan team jurulatih baru dapat menghapuskan isu ‘toksik’ yang sedang menyebar dalam kem terjun negara ini kerana jika ia dibiarkan lama-kelamaan, ia pasti akan memberi kesan yang tidak dapat dijangka kepada atlet sedia ada dan yang bakal menyertai kem negara, lebih-lebih lagi untuk temasya sukan yang akan datang seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik Paris 2024.