Fiera Fendi anggap pemilihan beliau sebagai hos MPL MY sebagai ‘rezeki terpijak’
Bagi peminat e-sukan pastinya tidak asing lagi dengan nama Fiera Fendi yang pernah mewarnai saingan Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL Malaysia) selama dua musim iaitu pada musim kedua hingga keempat.
Menurut Fiera, beliau sebenarnya tidak pernah menjangka akan mendapat peluang menceburi dunia e-sukan yang mana beliau menganggap pembabitannya dalam MPL Malaysia sebagai ‘rezeki terpijak’.
“Satu hari saya ada terlibat dalam penggambaran web drama yang mana saya tidak tahu ia dibawah produksi Astro.
Bagaimanapun sebaik sahaja saya selesai dengan penggambaran web drama itu, saya telah mendapat tawaran untuk jadi hos saluran eGG Network, jadi dari situ saya mula masuk dalam dunia e-sukan.
Saya tidak pernah terfikir memang nak masuk bidang ini kerana saya sendiri pun main game biasa-biasa saja, tapi sejak terlibat dengan e-sukan ini barulah saya main PUBG dan Mobile Legends,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau mengakui tidak tahu langsung mengenai e-sukan ketika diberi tanggungjawab untuk mengacara saingan MPL Malaysia, namun beliau bersyukur kerana dibantu oleh rakan-rakan hos.
Dalam pada itu, Fiera turut mengakui berdepan situasi gemuruh apabila ditugaskan untuk mengacara MPL Malaysia musim kedua yang mana beliau mengakui menangis dek gementar kerana tiada pengalaman ketika itu.
“Hari pertama saya dicampak untuk mengacara MPL Malaysia musim kedua. Jujur saya cakap ketika itu saya menangis sebab terlalu gemuruh kerana saya bukan hos dan tiada pengalaman langsung dan tiba-tiba ditugaskan untuk acara besar pula.
Tapi bila saya naik pentas saya cuba buat yang terbaik. Biasa la tu ada silap sikit-sikit, tapi makin lama saya belajar sikit-sikit dan timba ilmu mengenai e-sukan ini.”
Tambahnya lagi, selepas lama menggalas tanggungjawab sebagai hos MPL MY tahap gementarnya semakin berkurang dan beliau semakin yakin apabila beraksi di atas pentas.
Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya selepas kontraknya tamat bersama MPL Malaysia, Fiera kini lebih ke arah pengiklanan, sesi fotografi dan masih terlibat dengan industri e-sukan secara sambilan.