Fiera Fendi dedah terpaksa buat laporan polis dek gangguan seksual yang diterima ketika sedang ‘live’

709

Bekas hos Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL Malaysia), Fiera Fendi mengakui bergelar sebagai hos wanita dalam e-sukan tidak semudah seperti yang disangka kerana beliau sendiri terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

Menurut Fiera, selain kritikan dan kecaman yang diterima beliau juga tidak terlepas menjadi mangsa gangguan seksual ketika sedang mengacara secara ‘live’ sehingga menyebabkan beliau terpaksa membuat laporan polis.


“Kritikan seperti face shaming, body shaming tu memang ada lagi-lagi ketika saya sedang ‘live’ di atas pentas apabila ramai yang memberi komen-komen negatif.

Saya tiada masalah sekiranya kritikan yang dilontarkan untuk saya perbaiki kelemahan tapi ada yang sehingga ke arah gangguan seksual yang mana ada dulu yang sampai jadi kes polis apabila ada seseorang komen ‘bestnya kalau dapat threes**me’.

Bila seorang sudah mulakan, jadi makin ramai yang turut berbuat benda sama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Susulan dari komen gangguan seksual tersebut, pengurusnya telah menasihatinya untuk membuat laporan polis supaya dapat memberi pengajaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Dalam pada itu, Fiera juga bersyukur apabila mendapat sokongan daripada keluarga untuk menceburi dalam dunia pengacaraan terutamanya bapanya yang cadangkan kepadanya untuk cuba.

“Saya jadi hos e-sukan ni pun sebab ayah saya yang suruh sebab saya ketika waktu sekolah bukan seorang yang jenis suka bercakap di hadapan orang ramai sangat.

Ketika itu saya buat kerja secara freelance yang mana jadual kerja tak menentu, jadi bila dapat tawaran itu, ayah saya cakap apa kata cuba dahulu, jadi ke tak jadi belakang cerita. Jadi saya cubalah. Itulah permulaan saya dalam dunia pengacaraan e-sukan.”

Sementera itu, Fiera turut teruja apabila saingan MPL Malaysia musim ke-12 bakal membuka tirainya tidak lama lagi yang mana beliau akan terus menyokong Homebois untuk cuba memperoleh kejuaraan pertama mereka nanti.